KUALA LUMPUR – Lima lagi lebuh raya telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka mulai pertengahan September depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia melibatkan Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).
“Ini menjadikan keseluruhan jumlah lebuh raya yang bakal terlibat di dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini kepada 11,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Enam lebuh raya lain yang akan menggunakan sistem pembayaran terbuka seperti yang diumumkan minggu lalu adalah Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Lebuh Raya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Butterworth – Kulim.
Alexander turut memaklumkan, Besraya akan menjadi lokasi pelaksanaan pembuktian konsep (POC) Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang pertama.
Menurut beliau, pelaksanaan POC itu akan dibuat pada penghujung Oktober depan bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan bagi semua lebuh raya di Malaysia.
“Kementerian juga sedang mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi yang lain bagi mendapatkan satu lagi lebuh raya bagi pelaksanaan POC MLFF.
“Keputusan lokasi POC kedua ini akan saya umumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Alexander berkata, sistem pembayaran terbuka dan MLFF tidak boleh dilaksanakan semalaman dan perlu melalui pelbagai peringkat.
Beliau memberitahu, perkara itu tentunya bukan mudah dan memerlukan perancangan teliti dan penggunaan teknologi yang berpatutan serta rundingan bersama pelbagai pihak sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhya.
“Saya ingin memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka sekali gus memastikan transisi MLFF dapat dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” katanya. – MalaysiaGazette
Alhamdulillah sejak pemerintahan Kerajaan Madani banyak perubahan yg akan dilalui dan menamatkan monopoli yg dipelopori oleh Sang saka tua dlm mengkayakan kroninya.