PUTRAJAYA – Tun. Dr. Mahathir Mohamad menolak nasihat diberikan ahli ekonomi, Dr Jomo Kwame Sundaram supaya beliau tidak lagi terlibat dalam politik dan menjadi negarawan.
Bekas perdana menteri itu berkata, ia merupakan pendapat peribadi Jomo dan beliau tidak semestinya mengikut kehendak itu.
“Itu Jomo punya pendapat. Tidak semestinya saya kena ikut kehendak dia,” katanya pada sidang media di yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan terus terbabit dalam politik, Dr Mahathir berkata, beliau akan tetap meneruskan karier politiknya seperti biasa.
“Demi negara, jika orang datang minta tolong, kita kenalah tolong. Tak kan saya nak cakap tidak boleh tolong sebab nak rehat. Jika ada yang minta pendapat, saya sedia beri pendapat,” ujarnya.
Sebelum ini, Jomo menyatakan Dr. Mahathir sepatutnya meninggalkan politik dan mengambil peranan sebagai seorang negarawan ulung.
Jomo berkata, beliau pernah menasihatkan perkara itu kepada Dr. Mahathir kira-kira lapan bulan lalu supaya meninggalkan politik.
“Saya menggesa Dr. Mahathir untuk mengambil peranan sebagai negarawan ulung untuk membantu membangunkan negara,” katanya dalam forum dalam talian bertajuk “Malaysia’s future in a fractured world” anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia di YouTube malam tadi. – MalaysiaGazette
Biarkan Sang saka Tua ini meneruskan cita cita politik nya..mungkin nasib beliau sudah tertulis nak mati atas kerusi..bukan atas tikar sejadah.