KUALA LUMPUR – Akaun semasa imbangan pembayaran dijangka terus mencatatkan lebihan pada tahun 2023 sebanyak 2.5 hingga 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (2022: 2.6% daripada KDNK)didorong oleh lebihan barangan yang berterusan dan defisit yang lebih rendah dalam akaun perkhidmatan.
Akaun barangan dijangka terus mempunyai lebihan, apabila pertumbuhan eksport yang sederhana diimbangi oleh pertumbuhan import yang lebih perlahan.
Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 berkata, akaun perkhidmatan diunjur mencatatkan defisit yang lebih kecil, mencerminkan pemulihan selanjutnya dalam akaun perjalanan.
Yang penting, akaun perjalanan dijangka bertukar arah untuk mencatatkan kedudukan lebihan pada tahun 2023 selepas mengalami defisit selama tiga tahun berturut-turut sejajar dengan ketibaan pelancong yang terus mencatatkan pemulihan ke paras sebelum pandemik.
Pembukaan semula sempadan antarabangsa China juga dijangka terus memberikan dorongan pada kemasukan dan perbelanjaan pelancong asing.
Walau bagaimanapun, akaun perkhidmatan secara keseluruhan akan kekal dalam defisit mencerminkan pergantungan berterusan pada perkhidmatan asing, khususnya dalam segmen pengangkutan.
Akaun pendapatan primer dijangka kekal dalam defisit disebabkan terutamanya oleh pembayaran pendapatan terakru yang berterusan kepada pelabur asing di Malaysia.
Akaun pendapatan sekunder dijangka mencatatkan defisit yang lebih besar, didorong oleh pengiriman wang keluar yang lebih tinggi oleh pekerja asing. – MalaysiaGazette