ABUJA – Angka kematian akibat demam Lassa di Nigeria meningkat kepada 142 sejak awal tahun ini, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Dalam kemas kini terbaharu mengenai demam Lassa, Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC) berkata, demam berdarah virus itu setakat ini telah merebak ke 23 negeri, dengan jumlah 784 kes yang disahkan sejak Januari.

Di tengah-tengah usaha untuk mengurangkan jangkitan, NCDC meletakkan kadar kematian kes pada 18.1 peratus, dengan sekurang-kurangnya 97 daripada 774 kawasan kerajaan tempatan setakat ini telah merekodkan sekurang-kurangnya satu kes yang disahkan tahun ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, demam Lassa disebabkan oleh virus Lassa.

Manusia biasanya dijangkiti virus melalui pendedahan kepada makanan atau barangan rumah yang tercemar oleh air kencing atau najis tikus Mastomys yang dijangkiti.

Penyakit ini endemik dalam populasi tikus di bahagian Afrika Barat.

Dalam sesetengah kes, demam Lassa mempunyai simptom yang serupa dengan malaria, muncul antara satu hingga tiga minggu selepas terdedah kepada virus.

Dalam kes ringan, penyakit ini menyebabkan demam, keletihan, kelemahan dan sakit kepala. – Agensi