Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur sederhana pada tahun 2023 antara 4.0 hingga 5.0 peratus ((2022: 8.7%) di sokong oleh permintaan negeri yang kukuh.

Ekonomi negara akan terus berdepan cabaran, khususnya dari segi faktor luaran.

Pertumbuhan global yang perlahan dijangka menjejaskan eksport Malaysia, menurut Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 Bank Negara Malaysia.

Di dalam negeri, masih terdapat kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup dan kos input serta kesannya terhadap perbelanjaan oleh isi rumah dan perniagaan.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan akan didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, disokong oleh tahap pekerjaan dan pendapatan yang bertambah baik, pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun yang berterusan dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.

Sejajar dengan aktiviti perdagangan global yang lebih perlahan, sama seperti yang diperhatikan dalam ekonomi lain, eksport kasar diunjurkan berkembang secara sederhana pada 1.5% (2022: 25.0%).

Import kasar, yang berkembang kukuh pada tahun 2022, juga dijangka menjadi sederhana disebabkan eksport perkilangan yang lebih lemah dan pengurangan pengumpulan inventori apabila gangguan
rantaian bekalan global semakin pulih.

Apabila ekonomi terus kembali kepada keadaan normal, permintaan dalam negeri dijangka berdaya tahan.

Penggunaan swasta dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1% (2022: 11.3%), disokong oleh keadaan pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.

Namun perbelanjaan oleh isi rumah yang berpendapatan rendah mungkin terus terjejas disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi.

Sementara itu, pelaburan swasta diunjurkan berkembang sebanyak 5.8% (2022: 7.2%), disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun merentas semuasektor ekonomi.

Usaha automasi dan pendigitalan oleh syarikat, serta pelaksanaan berterusan dalam projek infrastruktur pengangkutan dan digital yang berskala besar akan terus menyokong pelaburan.
Penyelesaian secara beransur-ansur bagi beberapa pergeseran yang dialami pada tahun 2022 akan mempercepat pemulihan sektor-sektor yang berprestasi rendah sebelum ini.

Sektor perlombongan, yang pengeluarannya terjejas pada tahun 2022 disebabkan oleh penutupan loji bagi proses penyelenggaraan dan pematangan loji minyak sedia ada, dijangka mendapat manfaat
daripada pengoperasian loji baharu.

Bagi sektor pembinaan, kos bahan binaan dijangka menjadi stabil walaupun kekal pada paras tinggi.

Di samping itu, keadaan kekurangan pekerja dijangka bertambah baik apabila pekerja asing kembali memasuki negara secara berterusan, akan menyokong terutamanya pengeluaran pertanian
dan aktiviti pembinaan.

Sementara itu, pemulihan berterusan dalam perjalanan antarabangsa termasuk penyambungan semula pelancongan luar negara China sejak 8 Januari 2023 diunjurkan
akan meningkatkan pertumbuhan dalam subsektor perkhidmatan yang berhubung rapat dengan pelanggan (high-touch services).

Keadaan pasaran pekerja dijangka bertambah baik pada tahun 2023, lantas memberikan dorongan pada perbelanjaan isi rumah.

Peningkatan kukuh bagi tahap pekerjaan pada tahun 2022 dijangka berterusan pada tahun 2023, bagaimanapun kadar penambahbaikan mungkin lebih sederhana,
menghampiri purata jangka masa panjang, mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang kembali normal.

Permintaan pekerja akan kekal menggalakkan, disokong oleh pemulihan berterusan dalam aktiviti berkaitan dengan pelancongan serta pelan pengembangan oleh beberapa pengilang dan peruncit.

Prospek pendapatan juga kekal menggalakkan dengan gaji yang telah mula meningkat secara berterusan pada tahun 2022 dijangka terus bertambah pada tahun 2023 sejajar dengan pengembangan berterusan dalam pekerjaan dan peningkatan dalam produktiviti.

Pertumbuhan gaji akan terus disokong oleh liputan yang lebih meluas bagi kelayakan bayaran untuk kerja lebih masa berikutan pindaan kepada Akta Kerja serta pelaksanaan kenaikan gaji minimum.

Bantuan bersasar seperti bantuan wang tunai, pelbagai insentif cukai dan skim perlindungan sosial kekal tersedia untuk isi rumah yang mudah terjejas bagi terus
menyokong perbelanjaan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast