KUALA LUMPUR – Isu berkaitan pembekalan tenaga buruh asing ke negara ini dan kadar keluasan asal Tanah Rizab Melayu di Semenanjung dijangka menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai senarai rundingan yang sedang, telah dan juga dalam proses dengan negara berpotensi membekalkan tenaga buruh ke dalam negara.
Soalan itu dikemukakan Chow pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang turut meminta jumlah bilangan pekerja yang dijangka dibawa masuk dan tempoh untuk mengatasi isu kekurangan tenaga buruh yang dihadapi setiap industri pada masa ini.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) turut meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan sama ada kerajaan akan merangka satu dasar yang jelas dan kukuh bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di samping mengelak berlaku kebanjiran warga asing dalam negara.
Turut dijangka menjadi tumpuan ialah pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenai jumlah keluasan asal Tanah Rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung dan langkah kerajaan mengatasi isu keluasan yang semakin berkurangan.
Selain itu, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) turut meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan status terkini mengenai hasrat negara menuju ‘Carbon Neutral’ menjelang 2050 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Selesai sesi itu, Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023 dijangka akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua hari ini. – BERNAMA