REFORMASI institusi merupakan antara aspek yang diberi perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setakat ini, usaha telah dilakukan terhadap pindaan beberapa undang-undang penting termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Baru-baru ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa kerajaan supaya melaksanakan segera proses reformasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada masa yang sama, kita masih belum dapat melihat sebarang usaha dimulakan untuk reformasi badan kehakiman yang sememangnya amat penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.
Banyak isu berkaitan badan kehakiman yang bermula sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali menjadi Perdana Menteri ketujuh belum diselesaikan.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness mendedahkan tentang peranannya dan Dr. Mahathir dalam lantikan hakim-hakim kanan.
Persoalan juga timbul berhubung tindakan Dr. Mahathir mengetepikan senarai hakim-hakim kanan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dakwaan dalam buku Tommy juga mendapati Dr. Mahathir dan Tommy berulang kali melanggar Akta SPK 2009 pada 2018 dan 2019.
Malah, pada November lalu, Pengerusi Mesyuarat Raja-Raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.
Selain itu, negara turut digemparkan dengan insiden kebocoran penghakiman terhadap kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada September tahun lalu.
Terdapat dakwaan yang mengatakan draf penghakiman itu ditulis lebih awal dan mungkin bukan hakim sendiri yang menulisnya.
Kesahihan dakwaan tersebut tidak dapat dipastikan kerana kerajaan sehingga kini belum menyatakan tentang tindakan yang diambil terhadap mana-mana individu yang membocorkan penghakiman itu.
Isu membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang didakwa mempunyai konflik kepentingan dalam kes SRC International juga belum diketahui apa penyelesaiannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 23 Februari lalu mengesahkan SPRM telah mengemukakan laporan berhubung dakwaan tersebut kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Sehingga kini, tidak diketahui sama ada tindakan sewajarnya telah diambil atas perkara-perkara yang terkandung dalam laporan SPRM yang dikatakan bocor dan tular melalui media sosial baru-baru ini.
Isu-isu berkaitan badan kehakiman negara perlu ditangani segera oleh Kerajaan Perpaduan melalui proses reformasi institusi yang dijalankan di bawah portfolio Azalina.
Langkah itu penting bagi menangkis sebarang persepsi negatif terhadap institusi kehakiman negara agar ia kembali dilihat sebagai badan yang bebas dan berkecuali.
Kegagalan kerajaan bertindak pantas dalam melaksanakan reformasi institusi kehakiman dikhuatiri boleh mengikis kepercayaan rakyat, bukan sahaja terhadap badan berkenaan, malah ke atas pentadbiran sedia ada.
Jangan berlengah untuk memperbetulkan kepincangan yang dimulakan oleh pentadbiran Perdana Menteri ketujuh dahulu agar Kerajaan Perpaduan tidak dilihat sebagai mewarisi kegagalan beliau. – MalaysiaGazette