PRODUK agropelancongan yang berpotensi untuk berkembang di daerah Sik Kedah ialah agropelancongan berasaskan kulinari atau makanan. Salah satu makanan istimewa yang terdapat di Sik ialah lemang yang dijual sepanjang tahun. Gerai lemang yang mendapat perhatian penulis ialah lemang warisan maksu Intan di Charuk Pelanduk.
Gerai ini terletak di sebelah kanan jalan raya utama selepas susur keluar dari tol gurun menuju ke pekan Sik. Menurut Che Intan Man berusia 59 tahun, beliau telah mengusahakan lemang ini sejak tahun 2004. Istimewanya lemang ini dijual setiap hari tanpa mengira musim perayaan atau hari biasa. Gerai lemang dibuka setiap hari dan hanya ditutup sekiranya terdapat hal yang tidak dapat dielakkan seperti sakit dan kematian.
Kemahiran membuat lemang ini diwarisi daripada ibu mertuanya. Purata setiap hari adalah sebanyak 40 batang. Menurut Makcik Intan, kebiasaan daun pisang digunakan untuk membuat lemang. Ada juga digunakan daun lerek atas permintaan pelangan. Lemang dijual berharga RM10 sehingga RM12 bergantung kepada saiz buluh.
Menurut beliau, pada hari biasa buluh yang diperoleh sebatang hanyalah 80 sen. Seminggu sebelum puasa makcik sediakan 10 guni beras. Bulan puasa lemang sangat laku, kadang-kadang dua hari seguni dalam 20 hingga 50 kilo beras pulut. Apabila musim raya buluh dijual RM1 hingga RM1.50 sebatang. Pendapatan cukup untuk keperluan.
Menurut makcik Intan lagi, pandemik Covid-19 tidak menjejaskan perniagaannya malah pendapatan beliau ketika itu sangat menguntungkan. Lemang dibakar tetapi tidak dijual ditepi jalan, sebaliknya dijual di rumah. Ditanya perancangan masa depan, ‘nak bagi maju lagi je la. Sebab anak-anak pun minat kerja macam ni.
“Depa pun dari kecik lagi. Sekarang ni ada serunding apa semua kami buat. Ada la teringin nak buat kalau macam makan dekat kedai tapi modal tak berapa ada sangat,” ujar makcik Intan menutup perbualan.
Uniknya perniagaan lemang oleh makcik intan turut diwarisi oleh anak-anaknya. Selain gerai beliau, terdapat empat gerai lemang lain yang diusahakan oleh anak-anak makcik intan. Salah seorang anaknya yang ditemui ialah Asmiza Abu Hasan, beliau membuat lemang selepas tamat belajar. Sekarang umurnya 30 tahun.
Beliau belajar membuat lemang dari emaknya. Menurut Asmiza, tiga bahan asas/utama untuk menghasilkan lemang ialah buluh, buah kelapa dan kayu api. Bekalan ketiga-tiga bahan asas ini diperoleh dari penduduk kampung sekitar Sik secara tetap. Pembekal akan menghantar buluh, kelapa dan kayu api secara berkala. Kata Asmiza, kayu api ada yang dicari sendiri dan ada yang dibeli. Kalau kayu yang jenis bulat ini beliau cari di hutan, kalau yang jenis papan dibeli. Seikat berharga RM80 hingga RM90. Satu ikat biasanya tak sampai dua minggu.
Kayu api dihantar oleh pembekal. Semua pembekal adalah orang yang sama sejak dari dulu sehingga sekarang, sebab harganya sudah tetap. Kalau buluh, harganya seringgit sebatang dan kalau kecil sedikit harganya RM0.80. Setakat ini tidak ada masalah dari segi bekalan kerana sumber buluh, kelapa dan kayu api sentiasa mencukupi. Menurut Asmiza, kedai lemang setiap hari. Bangsal yang ada di sini semua milik adik beradiknya termasuk emak. Semua ada lima bangsal.
“Bangsal yang pertama milik adik, Asmila Abu hasan; yang kedua Asmita, yang ketiga bangsal emak, yang keempat saya sendiri dan yang kelima abang Asminuddin,” katanya. Mereka tidak kisah atau berkecil hati jika ada pelanggan yang sama datang membeli lemang, kerana masing-masing ada rezekinya.
Menurutnya, ‘dalam sehari beliau membakar lemang sebanyak 30 batang. Sehari perlukan lapan kilo beras pulut dan santan tiga kilo. Harga satu batang lemang ada RM8 dan ada RM10 bergantung kepada saiz buluh’. Beliau akan meneruskan perniagaan lemang ini kerana ia adalah sumber pendapatan utama dan lemang menjadi warisan keluarganya. Selain lemang, ada jual makanan sampingan dijual seperti rendang, serunding dan dodol.
Oleh: Dr. Salmah Omar
Prof Madya Dr. Zawiyah Mohd Zain
Dr. Nor Hanani Ismail
Artikel ini merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan yang dibiayai
oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di bawah Geran FRGS
(Fundamental Research Grant Scheme). (FRGS/1/2020/WAB08/UUM/02/1)