Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Tindakan lebih tegas perlu diambil bagi mencegah kegiatan merasuah penguat kuasa yang mengawal pintu-pintu masuk sempadan negara.

Lantaran itu, pihak yang berkaitan perlu melakukan sesuatu supaya aktiviti tidak sihat itu dapat dibanteras sehingga ke akar umbi, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

“Kami memandang serius pendedahan Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya mengenai tahap korupsi membabitkan anggota penguatkuasa sebagai barisan hadapan keselamatan negara yang semakin kronik dan membimbangkan.

“Malang sekali pendatang asing dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak amanah mengambil kesempatan meraih rasuah.

“Adalah sangat berbahaya bila anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara terlibat dengan rasuah yang meletakkan negara dalam keadaan bahaya.

“Keselamatan negara tidak boleh dikompromi. Rasuah dalam kalangan penguat kuasa akan menjadi amat parah jika tidak dibanteras, benteng pertama negara ialah pihak penguatkuasa. Jika, mereka mudah disogok, negara diambang bahaya,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu Mohd Azmi menegaskan, jika slogan “Malaysia Boleh” menjadi momokkan untuk membawa imej apa saja boleh dilakukan termasuk rasuah di negara ini, maka maruah negara akan tergadai.

Katanya, Malaysia boleh sahaja menjadi lubuk jenayah jika penguatkuasa mudah dibeli dengan sogokkan.

Tidak dinafikan bila keadaan itu berlaku, pelbagai jenayah antarabangsa boleh tertumpu di negara ini, ujar.

Tambah beliau, sindrom penafian wujudnya segelintir penguat kuasa menerima rasuah tidak boleh lagi menjadi sebab tindakan mengekang jenayah tidak diambil.

“Negara akan rosak jika setiap kehidupan seorang pendatang asing ke negara ini dijadikan laba besar penguatkuasa meraih peluang untuk menagih rasuah.

“Kami turut memandang serius penyalahgunaan visa-visa pelajar asing bagi tujuan bekerja, berniaga dan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral serta melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian, macau scam yang kebanyakan pekerjanya terdiri daripada warga asing. – MalaysiaGazette