KUALA LUMPUR – Bank-bank di Malaysia terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, menurut Tinjauan Kestabilan Kewangan 2022.
Pada peringkat keseluruhan sistem, nisbah Perlindungan Mudah Tunai dan nisbah pendanaan stabil bersih kekal kukuh, masing-masing pada 154.0% dan 118.2%.
Keadaan ini telah membolehkan bank-bank menyokong aktiviti pemberian pinjaman, pada masa yang sama, keadaan ini juga menyediakan penampan terhadap kesan kenaikan kadar faedah pada aset mudah tunai yang berkualiti tinggi (HQLA) yang disimpan untuk memenuhi keperluan mudah tunai dan kejutan mudah tunai lain.
Risiko mudah tunai dan pendanaan yang berkaitan dengan dedahan bank-bank kepada pendeposit besar, yang secara amnya lebih sensitif terhadap pergerakan kadar, kekal terurus walaupun terdapat beberapa tekanan menaik pada kadar antara bank.
Sebahagian besar (80%) daripada HQLA bank-bank adalah dalam bentuk penempatan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) atau pemegangan bon kerajaan yang boleh dicagarkan dalam pasaran antara bank atau dengan BNM untuk mendapatkan mudah tunai tambahan di bawah kemudahan tetap yang sedia ada dan Kemudahan Mudah Tunai Keterikatan Terhad (RCLF).
Penumpuan deposit yang besar bersama-sama dengan penampan modal yang rendah boleh meningkatkan kelemahan dengan ketara terhadap pengeluaran deposit secara besar-besaran.
Namun, hal ini tidak diperhatikan dalam kalangan bank-bank di Malaysia pada masa ini.
Permodalan sistem perbankan kekal kukuh, nisbah jumlah modal sistem perbankan berada pada 18.8% pada akhir tahun 2022, dengan penampan modal sebanyak RM134.8 bilion melebihi tahap pengawalseliaan minimum.
Peningkatan keuntungan dan strategi pemuliharaan modal yang dikekalkan oleh kebanyakan bank-bank akan mengukuhkan lagi keupayaan bank-bank untuk menyokong pengantaraan dan menyerap kerugian yang tidak dijangka.
Kos kredit telah mula kembali kepada paras sebelum pandemik dan dijangka terus menurun apabila bank-bank mula memasuk kira semula (write back) beberapa peruntukan pertimbangan pengurusan yang berkaitan pandemik.
Keadaan ini akan memberikan sokongan tambahan kepada pendapatan dan modal bank-bank pada masa hadapan.
Baaimanapun, bank-bank kekal berwaspada terhadap risiko kelemahan kerana keadaan ini mungkin timbul daripada pertumbuhan ekonomi yang lebih lemah daripada jangkaan dan peningkatan tekanan kos yang menjejaskan prestasi pinjaman serta volatiliti pasaran kewangan yang meningkat. – MalaysiaGazette