SHAH ALAM- Polis sedang mengesan dua individu disyaki pasangan suami isteri dipercayai warga tempatan yang didakwa menggunakan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik seorang pesara kerajaan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu Isnin lepas daripada mangsa yang berusia 62 tahun.
Menurut mangsa, kad ATM miliknya yang tersangkut pada mesin di sebuah bank di Banting, Kuala Langat, telah ditukar dan digunakan individu tidak dikenali.
Katanya, dalam kejadian kira-kira 10 pagi 25 Mac itu, seorang lelaki yang tidak dikenali kebetulan berada di bank berkenaan dan membantu mangsa mengeluarkan kad ATM tersebut.
Mangsa kemudiannya menerima kad berkenaan tidak mengesyaki apa-apa.
Bagaimanapun, sekitar 9.30 pagi, Isnin lalu pengadu sekali lagi ke bank dan cuba mengeluarkan wang tetapi tidak berjaya.
Dia kemudiannya merujuk masalah berkenaan di kaunter bank lantas mendapati kad tersebut bukan miliknya.
“Semakan akaun pengadu mendapati terdapat 23 kali transaksi penggunaan kad tersebut dan wang sebanyak RM46,000 telah digunakan,” katanya.
Ahmad Ridhwan berkata siasatan lanjut pihaknya mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kedai menjual telefon bimbit di Kapar, Klang memaparkan sepasang individu disyaki suami isteri berusia sekitar awal 30-an telah membuat pembelian telefon pintar jenis Iphone 13 menggunakan kad ATM milik pengadu.
Katanya, siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 dan usaha untuk mengesan suspek juga sedang dibuat.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 44 saat di Twitter memaparkan seorang lelaki bersama dengan seorang wanita di sebuah kedai telefon sedang membuat pembelian menggunakan kad ATM yang didakwa milik individu lain. -MalaysiaGazette
Demi hidup mewah, sanggup menipu walaupun secara haram. Tiadakah rasa simpati dgn nasib pesara itu. Ingat setiap penipuan akan tetap ada KARMA nya. Tunggu saja akan sampai mungkin next change kalau tidak pun coming soon.