Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018
RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Parlimen, kerajaan dan pembangkang berperang mulut dengan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengelirukan dewan berhubung kuasa pengecualian cukai yang kononnya mutlak di bawah Ketua Pengarah LHDN sahaja.

RSN Rayer (Jelutong-PH) bangun meminta Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor supaya mengambil tindakan ke atas Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang-PN) kerana berkelakuan keterlaluan terhadap Perdana Menteri.

Menurut Rayer, beliau membangkitkan perkara itu Isnin lalu di bawah Peraturan 31 (6) mengenai satu tuduhan dan sangkaan jahat yang dibuat oleh Machang terhadap Perdana Menteri.

“Ketika itu saya telah membuat satu usul secara bertulis. Usul itu telah dihantar ke Pejabat Speaker dan turut menerima satu surat bertarikh 27 Mac lalu berkenaan laporan polis yang dibuat oleh Machang menuduh Anwar menipu dan berbohong semasa memberi penjelasan jawapan di Parlime.

“Ini satu perlakuan yang boleh saya sifatkan sebagai keterlaluan dan tidak patut dilakukan oleh sebagai seorang Ahli Parlimen. Saya telah dimaklumkan bahawa Speaker telah menghantar surat secara rasmi kepada Machang,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Rayer, penyokong kerajaan, beliau rasa tersinggung dengan tindakan Machang menuduh Awar berbohong dan surat telah dihantar kepadanya menuntut penjelasan.

Wan Ahmad Fayhsal

Sebaik Rayer duduk, Wan Ahmad Fayhsal turut bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (6), iaitu seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas sesiapa ahli lain.

Menurut Ketua Armada Bersatu itu, beliau telah pun membuat draf jawapannya kepada Pejabat Speaker.

“Cuma saya ada kekhuatiran dan hendak tanya Speaker, surat yang Jelutong hantar itu tidak mematuhi Aturan 27 (1) Peraturan Majlis Mesyuarat, yang sepatutnya ditulis kepada Setiausaha Dewan, bukan kepada Speaker.

“Jadi, surat Jelutong pun sudah salah dari segi peraturan. Keduanya, fakta yang saya nak jelaskan kepada Jelutong, saya tidak pernah buat laporan polis terhadap Anwar.

“Yang buat laporan polis adalah ahli Armada saya. Jadi, tang (di) mana saya menyalahi dewan?,” soal beliau.

Kata beliau, satu usul telah dibuat bawah 27 (1) untuk membawa Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan berkaitan dengan kuasa pengecualian cukai kononnya mutlak di bawah Ketua Pengarah LHDN sahaja.

“Kenyataan Perdana Menteri dalam satu jawapan di Parlimen baru-baru ini berkaitan perkara Ini tidak betul dan ini yang saya akan rujuk kepada Speaker,” tegasnya.

Ramli kemudian cuba menenangkan keadaan dengan meminta Jelutong dan Machang bersabar kerana beliau perlu melihat semua senario yang berlaku termasuk mendapatkan hansard sekali sebagai rujukan.

“Perkara (usul) yang Jelutong hantar kepada dewan telah saya difahami daripada pihak Sekretariat dan kami sedang menunggu jawapan daripada Machang.

“Manakala yang dibangkitkan oleh Machang pula, sila buat secara rasmi dan saya percaya Yang Dipertua Dewan akan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette