Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sektor insurans dan takaful kekal berdaya tahan dengan nisbah kecukupan modal (CAR) agregat sebanyak 226% dan lebihan penampan modal sebanyak RM37.5 bilion melebihi tahap pengawalseliaan minimum pada bulan Disember 2022.

Keuntungan keseluruhan bagi dana insurans dan takaful bertambah baik berikutan pulangan pelaburan yang lebih tinggi, membantu mengimbangi pembayaran tuntutan
perubatan yang lebih tinggi.

Sektor insurans dan takaful am juga menunjukkan prestasi yang lebih baik, sebahagiannya disebabkan oleh ketiadaan tuntutan besar yang dicatatkan pada separuh pertama tahun 2022 akibat banjir teruk pada akhir tahun 2021.

Pada masa hadapan, penanggung insurans dan pengendali takaful (IO) akan terus terdedah kepada volatiliti pasaran kewangan yang ketara memandangkan pelaburan bon dan ekuiti mereka yang besar.

Pengalaman tuntutan dalam segmen perubatan dan motor yang terus kembali normal, serta peningkatan kekerapan dan keterukan peristiwa fizikal seperti banjir, akan memberikan kesan terhadap prestasi ITO pada masa akan datang.

Permodalan yang kukuh dan pengaturan insurans semula yang mantap kekal penting bagi memastikan bahawa ITO dilindungi secukupnya untuk menghadapi risiko yang berkaitan dengan perkembangan tersebut.

Ujian tekanan makro dan mikro terkini yang dijalankan oleh Bank  Negara Malaysia, yang menggabungkan faktor tekanan yang diperkukuh dan faktor tekanan tambahan, terus mengesahkan daya tahan institusi kewangan terhadap kerugian yang tidak dijangka daripada kejutan makroekonomi dan kewangan yang teruk.

Nisbah modal agregat selepas kejutan bagi bank (16.3%), penanggung insurans hayat (164%) dan penanggung insurans am (211%) kekal melebihi tahap pengawalseliaan mininum pada akhir tempoh ujian tekanan (2025).

Kedudukan ini akan terus menyokong keupayaan institusi kewangan untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah dan perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast