KUALA LUMPUR – Usaha mengembangkan keusahawanan di Sabah dan Sarawak perlu diutamakan dengan memastikan setiap insiatif kerajaan membantu golongan berkenaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjaya dilaksanakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, potensi usahawan di dua negeri Borneo itu perlu digilap menerusi latihan berkaitan.
“Kita mesti membangunkan bakat dan latihan keusahawanan di kedua-dua wilayah, menggali potensi yang ada dan memberikan saluran dana yang mencukupi untuk mereka sendiri menjalankan program-program pengwujudan usahawan termasuk memudahkan pendaftaran dan melakukan pemusatan untuk dana-dana ini diperolehi oleh usahawan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2023 di Parlimen.
Menurut Ahmad Zahid, kali terakhir mesyuarat berkenaan diadakan pada tahun 2021.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mesyuarat tersebut pada hari ini turut membuat keputusan supaya perkongsian data diwujudkan untuk penyelarasan maklumat usahawan.
“Ini melibatkan maklumat PKMS di 66 agensi dan institusi berbeza. Supaya latihan, pemantauan, pinjaman dan geran dana dapat diselaraskan agar tidak berlaku pertindihan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, penyelarasan usahawan vendor juga harus dilakukan supaya sumbangannya kepada negara dapat ditingkatkan.
“Kita mesti menunjukkan jaringan, pasaran baharu kepada produk dan perkhidmatan PKMS negara,” tambah Zahid.
Katanya lagi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggunakan peruntukan Bajet 2023 sebanyak RM40 bilion secara berhemah.
Tegasnya, kementerian berkenaan perlu memastikan dana yang digunakan dapat dimanfaatkan demi pembangunan PKMS.-MalaysiaGazette