Safee Sali.

KUALA LUMPUR – Permukaan padang berkualiti tinggi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, jelas antara faktor membantu Harimau Malaya mencatat dua kemenangan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, baru-baru ini.

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali percaya keadaan padang yang baik seperti gelanggang keramat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mampu melonjakkan prestasi skuad negara sekali gus mencatat kemenangan dalam perlawanan disertai.

“Sememangnya ada perubahan dari segi persembahan terutamanya serangan dan tekanan di bahagian depan serta keserasian antara pemain juga semakin baik namun apa yang penting keadaan padang baik.

“Jika padang tidak baik, sukar untuk kita bermain. Jadi dengan kelebihan padang yang berkualiti, pasukan kita mampu pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui pada satu majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) di sini, semalam.

Malaysia yang dibimbing pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, memulakan kempen aksi persabahatan dengan mengatasi Turkmenistan, 1-0, pada 23 Mac sebelum menutup jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong, kelmarin (28 Mac).

Sementara itu, Safee percaya kualiti dimiliki pemain tempatan seperti Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Mohamad Faisal Abdul Halim setanding dengan barisan pemain naturalisasi pernah diturunkan antaranya Paolo Josue dan Endrick Dos Santos dalam perlawanan persahabatan tersebut.

Beliau yang juga Presiden PFAM berkata walaupun Muhammad Akhyar kurang bermain di peringkat kelab namun pengalaman beraksi bersama Harimau Malaya termasuk corak permainan intensiti tinggi sebelum ini benar-benar membantunya menyesuaikan diri dengan baik bersama pasukan negara.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail berkata pasukan Melaka United FC dan Sarawak United FC akan dibicarakan di peringkat Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) pada 6 April ini selepas gagal melunaskan tunggakan gaji pemain mereka.

Katanya, pasukan Melaka United mempunyai tunggakan gaji lebih RM1 juta manakala Sarawak United pula kurang daripada RM500,000 terhadap 20 pemain yang bernaung di bawah PFAM daripada kedua-dua kelab tersebut.

“Kita sudah hantar beberapa surat kepada mereka (Melaka United dan Sarawak United) namun tiada ruang mahupun inisiatif untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Jadi, PFAM terpaksa guna langkah seterusnya iaitu undang-undang. Kami harap akan ada satu keputusan dari perbicaraan NDRC minggu depan sebelum bawa kes ini ke mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, Melaka United dan Sarawak United disingkirkan daripada Liga Super 2023 apabila permohonan kedua-dua kelab berkenaan untuk Lesen Kebangsaan ditolak susulan masalah tunggakan gaji pada musim lepas.- BERNAMA