KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar tidak ‘menjarah’ Petronas berulang kali.
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, dalam kenyataan pada Mac 2019, Najib turut menyarankan agar aset Petronas tidak dijual kerana rizab minyak dan gas negara adalah terhad.
“Petronas perlu dibina untuk menjamin masa depan negara bagi menghadapi cabaran yang sudah pasti akan menjelang bila minyak dan gas Malaysia habis dikorek,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Dalam kenyataan pada 13 Mac 2019 itu, Najib menyuarakan kebimbangannya apabila melihat rizab Petronas menurun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau mengulas kenyataan bertulis Kementerian Kewangan dalam Dewan Rakyat pada 12 Mac 2019 yang memaklumkan bahawa rizab minyak dan gas Malaysia dijangka akan berkurangan pada 2029 berdasarkan kadar pengeluaran semasa.
Najib memberitahu, kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) telah mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan kepada Petronas dan hasil minyak.
Sian See menambah, nilai aset bersih atau ekuiti Petronas meningkat sebanyak RM274.8 bilion atau pada kadar 341 peratus sepanjang sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri.
Sebagai perbandingan, beliau berkata, nilai aset bersih Petronas hanya meningkat kepada RM401.6 bilion pada akhir tahun lalu berbanding RM389.2 bilion pada suku kedua 2008.
“Namun dalam tempoh empat tahun selepas PRU14, nilai aset bersih Petronas cuma naik RM12.4b atau 3.2 peratus sahaja – biarpun harga minyak dan gas selepas PRU14 adalah jauh lebih tinggi berbanding sebelum PRU14.
“Kenaikan 341 peratus dalam tempoh sembilan tahun berbanding kenaikan 3.2 peratus dalam tempoh empat tahun selepas PRU14,” jelasnya. – MalaysiaGazette