Seorang pekerja kedai pakaian dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan atas tuduhan memiliki wang palsu di Mahkamah Majistret di GeorgeTown hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pekerja kedai pakaian dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan atas tuduhan memiliki wang palsu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Melati Diana Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Norhayati Talib, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya bersama Zuhan Khan Mohamed Ali, 53; dan Mohd Kadrie Kamarulzaman, 41 tahun.

Bagaimanapun, Zuhan Khan dan Mohd Kadrie tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Norhayati dijatuhkan hukuman dipenjara 10 bulan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa memiliki 18 keping wang kertas RM100 dan tiga keping RM20 dengan menyedari mata wang tersebut adalah palsu dan boleh digunakan sebagai tulen.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik No. 10 sebuah rumah tumpangan di Jalan Batu Ferringhi pukul 4.30 petang pada 20 Mac lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala kesemua tertuduh diwakil peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Cheah Eng Soon.

Dalam prosiding itu, Nurul Atikah menawarkan jaminan RM20,000 selain meminta mahkamah mengambilkira faktor keseriusan kes yang memberi impak kepada ekonomi negara.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM4,000 masing-masing terhadap Zuhan Khan dan Mohd Kadrie dengan seorang penjamin selain mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Mohd Kadrie dibenarkan ikat jamin.

Mahkamah turut mengarahkan supaya kedua-dua tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai dan menetapkan 16 Mei ini bagi lantikan peguam serta sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, Zuhan Khan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Berdasarkan pertuduhan, pekerja hotel itu di didakwa memiliki 14 keping wang kertas RM100 dan sekeping RM20 dengan menyedari mata wang tersebut adalah palsu dan boleh digunakan sebagai tulen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik No. 4 sebuah rumah tumpangan di Jalan Batu Ferringhi pukul 4.30 petang pada 20 Mac lalu.

Nurul Atikah menawarkan jaminan RM10,000 dan mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin yang perlu terdiri daripada ahli keluarga.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh perlu lapor diri di balai polis setiap bulan sehingga keputusan kes.

Zuhan Khan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Zuhan Khan didakwa menggunakan wang palsu RM100 di sebuah kedai serbaneka di Batu Ferringhi.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan sebagai tulen sekeping wang kertas RM100 yang telah dibuat dengan jalan pemalsuan atau mengetahui ia palsu.

Dia dakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai serbaneka di Batu Ferringhi jam 11.17 malam pada 11 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah seksyen sama penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chew Qi Wey dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Qi Wey menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh mohon kurangkan jaminan susulan menganggung tiga anak serta ibu yang sedang sakit.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan tertuduh serahkan pasport kepada mahkamah serta tidak menganggu saksi sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 12 Mei depan. – MalaysiaGazette