Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka. Foto MUHD NA’IM, 31 MAC 2023.

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 petang ini.

Majlis angkat sumpah beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) pada pukul 3.33 petang.

Hadir sama Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis dan barisan Exco kerajaan negeri.

Ab Rauf, 62, sebelum ini dinamakan sebagai bakal Ketua Menteri Melaka Ke-13, selepas ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletakan jawatan yang disandangnya sejak tiga tahun lalu.

Peletakan jawatan Sulaiman, 56, kemudian disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila menerima surat itu daripada beliau Selasa lalu.

Sulaiman dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-12 menggantikan Adly Zahari daripada Pakatan Harapan (PH) selepas beliau yang diisytihar sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei 2018 tidak lagi mendapat kepercayaan beberapa ADUN PH membolehkan BN menguasai 15 kerusi daripada 26 kerusi DUN.

Situasi politik Melaka sekali lagi bergolak, apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan pada 21 November 2021.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu bagaimanapun berjaya kembali ke jawatan Ketua Menteri apabila keputusan PRN menyaksikan BN menang besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN.

Walaupun menang selesa, timbul pelbagai spekulasi apabila Majlis angkat sumpah Sulaiman diadakan secara tertutup pada pukul 1 pagi di Pejabat TYT di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Bahang kerusi ketua menteri tidak berakhir di situ apabila timbul pelbagai dakwaan mengatakan Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan pada Disember lalu bagi memberi laluan kepada Ab Rauf menggantikannya.

Sulaiman ketika itu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan termasuk sudah menghantar surat terbabit kepada Ahmad Zahid dan akan mengosongkan kerusinya itu pada Januari lalu. – MalaysiaGazette