Nik Mohamad Abduh Nik Aziz

KUALA LUMPUR – Keputusan penghakiman Hakim Besar Sabah, Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak turut menimbulkan kesan terhadap Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Mat.

Beliau menyifatkan keputusan Abdul Rahman dalam kes Najib hari ini memberi kesedaran bahawa pandangannya yang bekas perdana menteri itu tidak mendapat keadilan dalam perbicaraan  bukan pendapat yang naif.

“Hari ini, apabila Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, pengerusi panel lima hakim kepada permohonan semakan sabitan hukuman ke atas DSNR itu memberi pandangan yang sama dalam penghukumannya bahawa wujud ketidakadilan yang nyata.

“Maka saya sedar bahawa pandangan awal saya dulu bukanlah naif. Bahkan bermerit,” kata bekas Ahli Parlimen Bachok tersebut.

Nik Abduh yang merupakan bekas anak Mursyidul Am Pas Allahyarhan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau sejak awal berpendapat Najib tidak diberikan keadilan dalam perbicaraan yang dilaluinya.

Namun Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu  terpaksa berdiam diri kerana berasa beliau bukan ahli yang memahami undang-undang.

Justeru beliau hanya mampu berdoa supaya Najib terus kuat berhadapan dengan ujian.

“Dulu saya memang berpandangan bahawa Datuk Seri Najib Abdul Razak telah ‘amat’ tidak diberikan hak dan keadilan yang sewajarnya oleh mahkamah.

“Tetapi saya diam saja sebab saya kira ia mungkin lahir daripada kenaifan untuk memahami keseluruhan perundangan dan sistem keadilan negara.

“Saya lalu doakan beliau tabah menghadapi hukuman dan ujian. Dunia ini ada sisi zahir dan batinnya. Hikmah sentiasa di sisi batin yang perlu digali,” kata Nik Abduh.

Beliau berharap sistem keadilan di Malaysia terus diperjuangkan oleh semua rakyat agar sentiasa ditambah baik.

“Adil atau tidak adil di dunia ini, ia hanyalah perjalanan hidup yang sementara dan penuh ujian. Hari pembalasan nanti adalah keadilan mutlak dari sang pencipta yang maha adil maha agung. Itu je nak habaq,” kata beliau dalam perkongsian di Facebook.

Media hari ini melaporkan, Abdul Rahman yang mengetuai panel hakim mendengar semakan kes sabitan salah dan hukuman terhadap Najib azak berpendapat bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat pengadilan sewajarnya dalam prosiding terdahulu.

Beliau merupakan hakim tunggal menentang keputusan empat lagi panel hakim yang menolak permohonan Najib bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Ketika membacakan penghakimannya, Abdul Rahman berkata, adalah sesuatu yang wajar supaya Najib dibebaskan dan dilepaskan kerana bekas perdana menteri itu tidak diberikan perbicaraan yang adil.

Malah, beliau berkata, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah menyalahguna kuasa dengan memaksa peguam mewakili Najib untuk meneruskan prosiding walaupun peguam itu (Datuk Hisyam Teh Poh Teik) menarik diri.-MalaysiaGazette