Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pengampunan Diraja melalui Lembaga Pengampunan merupakan antara cara akhir untuk membawa keluar Datuk Seri Najib Tun Razak daripada terus menjalani hukuman penjara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, bagaimanapun cara itu mempunyai komplikasi kerana bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai perbicaraan yang sedang berjalan.

Namun beliau menegaskan UMNO perlu memulakan proses untuk mendapatkan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana langkah itu memerlukan masa yang lama.

“Apa langkah seterusnya yang boleh kita buat untuk membebaskan Datuk Seri Najib ialah melalui Pengampunan Diraja. Untuk dapatkan Pengampunan Diraja ini kita perlu mulakan.

“Satu komplikasi ialah beliau masih mempunyai perbicaraan 1MDB. Macam-mana? Sama ada nak tunggu kes 1MDB itu selesai dahulu baru kita buat Pengampuan Diraja?

“Saya mencadangkan kita mulakan dulu proses sebab Pengampunan Diraja ini bukan boleh tiba-tiba sahaja dibuat. Takkan nak tunggu lama lagi. Bila mendapat penghakiman 1MDB kita masukkan sekali,” katanya dalam satu video di media sosial.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu berkata, beliau akan terus membantu Najib yang telah dianggap sebagai rakan.

“Kepada Datuk Najib, jika boleh lihat ‘live’ ini saya hendak minta beliau hang in there (bertahan). Kita akan lakukan yang terbaik,” kata Isham.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal.

Prosiding hari ini didengar lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Keputusan dibuat dengan majoriti 4-1 iaitu Vernon Ong, Rhodzariah, Nordin dan Abu Bakar menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit. – MalaysiaGazette