syed saddiq uitm
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (paling kanan) tetap meneruskan program dialognya di UiTM Shah Alam malam tadi walaupun tidak mendapat kebenaran pihak universiti. (Gambar: Tangkap layar video Facebook)

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa sengaja menimbulkan persepsi buruk terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung pembatalan program dialognya.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Dr. A. Aziz Azizam berkata, seperti yang dimaklumkan, program dialog yang dijadualkan untuk dihadiri Syed Saddiq semalam telah pun diputuskan pembatalan oleh pihak universiti dua hari lebih awal iaitu pada 28 Mac.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Muar itu tahu mengenai pembatalan tersebut namun tindakannya untuk tetap hadir boleh ditafsirkan sebagai jahat dengan ingin menimbulkan persepsi buruk terhadap UiTM selain mendatangkan ketegangan dan kekacauan.

“Jika benar nak bawa suara siswa berkenaan latihan amali berbayar, beliau boleh saja bawa dan kemukakan perkara ini di Parlimen ataupun mana-mana saluran berkaitan.

“Syed Saddiq jika mahu berdialog tidak pun dapat menyelesaikan apa-apa pun kerana beliau bukan ada apa-apa jawatan berkaitan pun.

“Tambahan pula, jika Syed Saddiq tetap mahu lakukan dialog, boleh sahaja lakukan secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq tetap meneruskan program dialog tersebut di UiTM Shah Alam malam tadi walaupun tidak mendapat kebenaran daripada pentadbiran universiti.

A. Aziz memberitahu, adalah tidak menjadi masalah untuk pihak universiti membatalkan atau meluluskan mana-mana individu atau jemputan kerana mereka bertanggungjawab terhadap pelajar.

Beliau menambah, segala jemputan dan program mesti mengikut garis-panduan yang ditetapkan, lebih-lebih lagi jika individu jemputan tersebut terkait dengan penyelewengan serta ada kes di mahkamah.

“Ini adalah satu tindakan yang wajar oleh universiti untuk menjalankan amanah ke atas para pelajar,” jelasnya.

A. Aziz berkata, pelajar bebas membuat keputusan dalam berpolitik, namun perlu difahami juga bahawa institusi pengajian adalah pentas akademik bukannya pentas untuk ahli politik mencari populariti.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Syed Saddiq supaya sedar diri manakala tindakan lapuk dalam mencari keuntungan dan modal politik sebegini seharusnya dihentikan.

“Dia kena malu sikit berkenaan hal ini. Dia seharusnya matang dan faham sebagai ahli politik dengan menghormati keputusan organisasi atau universiti.

“Dia hanya Ahli Parlimen bahkan tidak ada apa-apa kelebihan dan keistimewaan untuk menceroboh mana-mana kawasan sesuka hati,” jelasnya.

A. Aziz juga berharap UiTM diharap tidak memanjangkan hal tersebut selain tidak melayani mana-mana ahli politik yang cuba mengambil kesempatan serta mencari modal politik.

“UiTM mempunyai banyak lagi hal-hal penting untuk diutamakan selain melayan ahli politik yang cuba mendapatkan perhatian umum dengan memainkan isu murahan seperti ini,” katanya. – MalaysiaGazette