Jentera bomba turut membantu membekalkan air bersih kepada penduduk di Manjung yang terjejas.

MANJUNG – Kira-kira 400,000 isi rumah di sekitar Lumut dan sebahagian Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air Teluk Kepayang dihentikan operasi sejak semalam.

Jumlah itu membabitkan  79,360 premis.

Lembaga Air Perak (LAP) memaklumkan, gangguan air berlaku ekoran berlakunya pergerakan tanah di mukasauk (intake) yang menyebabkan kedudukan paip air mentah bersaiz 1,200 milimeter (mm) dalam tanah beralih.

Akibatnya paip tersebut putus dan air mentah tidak dapat disalurkan ke loji rawatan air.

Kerja-kerja pembaikan ini dijangka siap pada Isnin ini dan bekalan air akan pulih secara berperingkat-peringkat.

“Kita menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan terlibat bagi mengagihkan bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Norhaslinda (tengah) semasa meninjau penghantaran air ke Pulau Pangkor bagi membantu penduduk ekoran gangguan bekalan air sejak tengah hari semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria mengedarkan sebanyak 280 karton air mineral diedarkan kepada penduduk sekitar Pulau Pangkor.

Menurutnya, jentera sukarelawannya digerakkan bagi menghantar bantuan tersebut bermula jam 6.30 petang tadi.

“Para sukarelawan yang terdiri daripada anak muda dan pihak Marina Island telah menghantar 280 karton air mineral bersaiz 500 mililiter dari Jeti Marina Island ke Jeti Pangkor.

“Walaupun jumlah tersebut tidak seberapa, tetapi diharapkan ia dapat membantu penduduk sementara kerja-kerja penyambungan bekalan air bersih dilakukan LAP,” ujar beliau.

Selain itu, pihak Marina Island turut menyediakan dua lokasi mengambil bekalan air bersih kepada penduduk di daerah Manjung.

Lokasi tersebut di premis Pro Cut Auto Detailing Sdn. Bhd. manakala Marina Island Pangkor Resort dan Hotel menyediakan dua paip air di kawasan D’Ocean dan satu pili di  D’Sea.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ding Mei Looi berkata, ia dilakukan atas dasar tanggungjawab sosial terhadap kesulitan dihadapi penduduk.

“Kita menyediakan dua lokasi untuk penduduki Manjung serta berdekatan bermula pukul 3 petang sehingga 10 malam ini.

“Bagaimana pun, setiap orang boleh mengambil air tidak melebihi 20 liter dengan membawa bekas air sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette