Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Minat terhadap kaunter yang rendah dijangka meningkatkan prestasi Bursa Malaysia dengan indeks utama diunjurkan diniagakan pada paras 1,420-1,440 minggu depan, menurut Rakuten Trade Sdn Bhd.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuitinya, Thong Pak Leng berkata, penilaian ekuiti Malaysia kekal murah, yang memberi peluang kepada pelabur untuk aktiviti belian saham pada harga rendah.

“Selain itu, kami menjangka keseluruhan prospek dalam jangka sederhana akan didorong oleh keadaan ekonomi yang bertambah baik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang penganalisis berkat.  Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan ISM dan data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat bagi Mac pada minggu depan akan dipantau dengan teliti untuk mengukur hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS pada masa depan.

Pada 22 Mac, Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi walaupun sistem perbankannya menghadapi tekanan dan menunjukkan akan ada satu lagi kenaikan.

Data PMI Caixin China dan Zon Euro akan turut dikeluarkan pada Isnin.

Sektor pembuatan AS terus menguncup pada Februari, walaupun pada kadar yang perlahan berbanding Januari berikutan PMI Pembuatan ISM naik kepada 47.7 daripada 47.4 manakala indeks Caixin China meningkat semula kepada 51.6 selepas penguncupan selama enam bulan berturut-turut.

Penganalisis itu berkata ucapan Presiden Fed Cleveland Loretta Mester dan Presiden Fed St Louis James Bullard pada minggu ini, diikuti tuntutan pengangguran awal mingguan AS pada Jumaat akan turut dipantau dengan teliti.

Secara keseluruhannya, para pegawai Fed menjangka kadar pengangguran akan mencapai 4.5 peratus pada akhir 2023.

Pada minggu ini, Bursa Malaysia diniagakan tinggi dari Selasa hingga Khamis sebelum mengakhiri minggu ini pada paras rendah berikutan aktiviti pengambilan untung.

Ketiadaan tajuk berita yang negatif mengenai krisis perbankan AS dan Eropah membantu meningkatkan sentimen di peringkat tempatan dan global.

Pasaran turut gembira mengenai Silicon Valley Bank akan diambil alih oleh First Citizens Bank.

Dalam negara, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus memberi jaminan bahawa krisis perbankan AS dan Eropah kemungkinan besar tidak berlaku di Malaysia kerana bank di negara ini masih berdaya tahan dalam senario yang buruk.

Beliau berkata semua bank di Malaysia tertakluk kepada peraturan modal yang sangat ketat untuk memastikan keselamatan dan kestabilan sistem perbankan.

“Tidak kira apa saiz anda, anda tertakluk kepada peraturan yang sama, tidak seperti di Amerika Syarikat yang mana peraturan sedemikian hanya terpakai kepada bank bersaiz besar,” katanya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 22.89 mata untuk ditutup kepada 1,422.59 daripada 1,399.70 pada minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 161.45 mata kepada 10,419.63, Indeks FBMT 100 melonjak 162.20 mata kepada 10,114.03, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 117.22 mata kepada 10,716.43 dan Indeks FBM 70 menambah 214.66 mata kepada 13,512.38.

Sementara itu, Indeks FBM ACE merosot 77.02 mata kepada 5,226.80.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 259.18 mata kepada 15,708.70, Indeks Tenaga meningkat 33.93 mata kepada 836.81, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 5.54 mata kepada 171.08 dan Indeks Perladangan naik 27.35 mata kepada 6,741.28.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 16.21 bilion unit bernilai RM8.36 bilion daripada 16.06 bilion unit bernilai RM9.62 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 10.54 bilion saham bernilai RM6.92 bilion daripada 10.56 bilion saham bernilai RM8.25 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.94 bilion unit bernilai RM332.66 juta daripada 2.18 bilion unit bernilai RM338.05 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 3.71 bilion saham bernilai RM1.10 bilion daripada 3.28 bilion saham bernilai RM1.02 bilion. – BERNAMA