sabah kerajaan BN
Azmi Hassan

KUALA LUMPUR – Pembentukan Kerajaan Perpaduan di dalam Kerajaan Negeri Melaka mungkin disebabkan ada ‘permintaan’ meskipun ia dilihat bercanggah dengan keputusan pilihan raya negeri Melaka pada November 2021 yang memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah.

Penganalisis politik juga tidak menolak, situasi sekarang berlaku kemungkinan timbal balas daripada pelantikan Menteri Besar Pahang dan Perak, walaupun BN menang tipis di kedua-dua negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan menambah, faktor itu juga yang menjadi pemangkin pertukaran jawatan Ketua Menteri Melaka baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menggantikan Datuk Seri Sulaiman Ali.

Mengakui pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka pastinya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan akar umbi UMNO, Azmi berkata, perkara sama juga berlaku dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) di Pahang dan Perak.

“Mereka juga menentang apabila pemimpin UMNO dari Barisan Nasional dipilih untuk menjadi Menteri Besar.

“Tetapi saya melihat perkembangan ini untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, maka akar umbi UMNO perlu bertolak-ansur,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, barisan Eexo baharu bagi kerajaan Melaka mesti menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, komposisi itu menzahirkan kebersamaan parti Kerajaan Perpaduan walaupun Barisan Nasional (BN) menguasai tiga perempat kompisisi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini.

“Di Melaka, UMNO dan BN memperoleh tiga perempat suara majoriti.

“Bagaimanapun, lebih baik jika Kerajaan Negeri Melaka dapat menggambarkan kebersamaan dan perkongsian kuasa dengan ADUN yang dipilih rakyat daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmi menambah, seandainya wujud rasa tidak puas hati (pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka), perkara itu sememangnya sudah dijangkakan.

Ia kerana, sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, kerjasama strategiknya hanya berlaku di peringkat atas sahaja, tidak di bawah.

“Macam di Melaka, mungkin di peringkat ketua kampung atau ketua Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) masih disandang oleh penyokong-penyokong UMNO. Oleh sebab itulah penentangan atau rasa kurang senang berlaku,” tambahnya.

Namun, beliau melihat strategi ini sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, terutama menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.

“Oleh itu, jika mahu selamatkan Kerajaan Perpaduan, usaha ini perlu disokong,” ujarnya.

Namun, beliau juga yakin pembentukan kerajaan ini tidak akan berlaku di Johor sama sekali.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi lebih dua pertiga kerusi dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, diikuti Pakatan Harapan dengan 13 kerusi dan Perikatan Nasional tiga kerusi. – MalaysiaGazette