Kanak-kanak bergambar dengan pihak pengurusan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang selepas menerima hadiah.

GEORGE TOWN – Seramai 13 kanak-kanak yang berjaya melengkapkan solat tarawih 20 rakaat dalam tempoh 10 hari Ramadan memperoleh hadiah daripada pihak pengurusan Masjid Kapitan Keling di sini, semalam.

Pemberian hadiah kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah itu merupakan inisiatif pihak pengurusan untuk menarik minat golongan berkenaan mendekati masjid sepanjang Ramadan ini.

Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, mereka dibekalkan de­ngan kad khas sebagai pe­nanda kehadiran selain perlu mendapatkan cap daripada Pengerusi masjid, Faruk Raja Mohamed setiap kali selesai menunaikan 20 rakaat solat tarawih.

Pengerusi masjid, Faruk Raja menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak lengkap 20 rakaat tarawih bagi 10 malam berturut-turut.

“Malam tadi kami raikan kanak-kanak berkenaan dengan memberi hadiah berupakan permainan.

“Kanak-kanak yang menerima hadiah itu berasa teruja dan mahu datang lagi bersama ibu bapa atau waris bagi menunaikan solat tarawih.

“Malah pihak kami juga mendapat maklum balas positif dalam kalangan ibu bapa dan waris berhubung inisitif ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohamed Rizwan, bagi 10 malam kedua dan ketiga tarawih, pihak pengurusan masjid mempertimbang pemberian hadiah kereta kawalan jauh, dron dan lain-lain.

Seorang kanak-kanak menunjukkan hadiah serta kad yang dilengkapi tandatangan pengerusi masjid.

“Kanak-kanak lain masih berpeluang mendapatkan hadiah istimewa dengan syarat, datang ke masjid dan tunaikan solat tarawih 20 rakaat selama 10 malam,” jelasnya. – MalaysiaGazette