Foto FB Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Dapatkan pengesahan rakan-rakan dalam DAP atau tanya kepada Jabatan Perdana Menteri!

Itu gesaan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong terhadap ADUN Bandar Baru Klang, Teng Chang Kim berhubungan penyertaannya dalam delegasi lawatan Perdana Menteri ke China.

“Jika YB Teng Chang Khim begitu mengambil berat tentang perbelanjaan perjalanan ini, beliau seharusnya mendapatkan pengesahan daripada rakan-rakan DAPnya atau meminta Jabatan Perdana Menteri menjelaskan perkara itu.

“Bukannya mengutuk pemimpin MCA secara membuta tuli dan tidak berasas,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Menurut Ka Siong, sebagai Ahli Parlimen backbencher dan bukannya Menteri Kabinet, beliau memegang tanggungjawab untuk memainkan peranan dengan baik apabila Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi ke China.

“Ia adalah sebahagian daripada tugas saya untuk menyumbang kepada negara dengan menggalakkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan China.

“Sejak ketibaan Perdana Menteri di Beijing, saya telah menyertai pelbagai program dalam memainkan peranan menyokong Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas menteri pengangkutan itu percaya bahawa soal pengukuhan hubungan dua hala dengan China memerlukan langkah-langkah praktikal dan bukan sekadar cakap-cakap sahaja.

Sementara itu dalam hantaran awal, Ka Siong menjelaskan bahawa beliau telah dijemput untuk menyertai Perdana Menteri dalam lawatan rasminya ke Beijing.

Katanya, penyertaannya dan pemimpin MCA dalam lawatan itu adalah menggunakan perbelanjaan sendiri dan bukannya ditanggung oleh mana-mana dana awam.

“Ditegaskan, tiada satu sen pun wang rakyat digunakan!” Katanya.

Menurut Ka Siong, sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Beijing para pemimpin MCA telah mengaturkan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perhubungan Antarabangsa China (IDCPC), memandangkan hubungan MCA-CPC telah pun terjalin lama sejak 1994 lagi.

Chang Kim sebelum ini mendakwa penyertaan Ka Siong dan pemimpin MCA dalam lawatan tersebut merupakan penyalahgunaan dana awam. – MalaysiaGazette