Najib Razak ketika hadir bersama anaknya, Nooryana Najwa (dua kanan) bagi menghadiri perbicaraan kes 1MDB sebelum mendengar keputusan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Anak perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa menegaskan, perjuangan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil terhadap bekas Perdana Menteri itu akan diteruskan.

Beliau tahu ramai yang kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menolak permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan mahkamah tertinggi negara sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Nooryana Najwa berkata, keputusan itu juga mengejutkan sistem perundangan negara kerana ia membawa kesan dan akibat yang besar.

“Yana tahu Najib seorang pejuang dan beliau tetap mahukan perbicaraan dan pengakhiran yang adil kepadanya.

“Yana berharap kita semua akan terus mengambil langkah bertindak dengan berani mempertahankan dan memperjuangkan keadilan penuh untuknya.

“Kita mesti meneruskan perjuangan kita. Kita mesti menyuarakan kebenaran. Kita mesti mengambil tindakan yang berani demi keadilan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, lima panel hakim yang dipengerusi Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menolak semakan tersebut dengan keputusan 4-1.

Nooryana Najwa turut berkongsi empat fakta yang dinyatakan oleh Abdul Rahman dalam penghakimannya yang menyokong permohonan semakan kehakiman tersebut.

Menurut beliau, fakta pertama, pihak pendakwaan memberi hujah selama dua hari tetapi Najib tidak didengar langsung ketika perbicaraan tahun lepas.

Nooryana Najwa menambah, fakta kedua, permohonan penangguhan bukan untuk lari dari rayuan tetapi dibuat dengan jujur agar peguam Najib dapat buat persediaan meneliti 30,000 dokumen.

“Ketiga, hak Najib untuk perbicaraan yang adil dinafikan kerana perbicaraan diteruskan pada masa peguam Najib tidak lagi berupaya mengemukakan hujah setelah tidak diberi masa dan telah berundur diri dari mewakili beliau.

“Keempat, Najib berhak mendapatkan peguam bela yang efektif dan bukan merencatkan peranan dan keupayaannya,” jelasnya.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata: “Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil. Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali.”

Nooryana Najwa turut meluahkan perasaan sedih kerana harapan beliau dan keluarga untuk berbuka puasa bersama Najib semalam tidak kesampaian.

Menurut beliau, sebelum dibawa pulang ke penjara, Najib sempat berkata kepadanya dan adik beradik yang lain: “Daddy baru fikir apa kita nak buka puasa malam ni? Ingat boleh sembahyang bersama family.”

Nooryana Najwa juga mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir ke mahkamah dan mendoakan kebaikan untuk Najib.

“Beliau kirim salam dan anda semua sentiasa menjadi inspirasi untuk beliau terus berjuang,” katanya. – MalaysiaGazette