Wan Rosdy berkongsi gambar beliau bersama Najib di Facebook.

KUALA LUMPUR – Ahli UMNO diminta supaya bersabar berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ahli parti itu perlu bertenang terhadap keputusan yang dibuat oleh mahkamah terhadap bekas Presiden UMNO itu yang terpaksa meneruskan hukuman penjara selama 12 tahun.

“Saya memohon agar semua pihak terutamanya ahli-ahli UMNO dapat bersabar dan bertenang serta teruskan berdoa semoga Allah SWT memberi kekuatan dan ketabahan kepada Datuk Seri Najib untuk menghadapi dugaan yang besar ini,” katanya.

Wan Rosdy dalam kenyataan hari ini melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap Najib berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac 2023 lalu.

Sabagai rakyat Malaysia yang patuh kepada undang-undang beliau akur dengan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Najib.

“Walaubagaimanapun, saya melihat masih ada ruang perundangan bagi membolehkan Datuk Seri Najib mendapat pembelaan sewajarnya.

“Malah saya juga akan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib walau dalam apa jua keadaan,” katanya.

Najib gagal dalam permohonannya agar sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International disemak.

Dalam keputusan majoriti 4-1, Hakim Datuk Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais menolak usul bekas perdana menteri itu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim mendengar permohonan itu, adalah satu-satunya yang menentang.

Panel lima hakim itu mendengar penghujahan daripada kedua-dua pasukan pembelaan Najib dan pihak pendakwaan selama enam hari antara 19 Januari dan 28 Februari.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan oleh Nazlan, ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Disember 2021.

Najib memulakan hukuman penjara pada 23 Ogos tahun lepas, sejurus selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal. – MalaysiaGazette