Gambar Fail: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Republik Rakyat China, Li Qiang, di Great Hall of the People, Beijing, 1 April 2023. - foto PMO

BEIJING – Malaysia dan China bersetuju untuk memantapkan dan membawa  hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi, dipacu dengan kerjasama lebih mendalam dan bermakna dalam pelbagai aspek.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama strategik ini merangkumi antaranya bidang politik, perdagangan dan pelaburan.

Beliau turut menyifatkan lawatan rasmi sulungnya ke China sebagai satu pencapaian yang membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat Malaysia.

Menurut beliau tumpuan yang diberikan oleh pihak kerajaan dan pemimpin China serta sambutan daripada tokoh-tokoh perniagaan dan industri China terhadap lawatannya ini menunjukkan keakraban hubungan kedua-dua negara.

“Sambutan dan tumpuan yang diterima hebat dan luar biasa. Saya anggap ini satu perkembangan sangat positif. Kunjungan ini memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada media Malaysia dalam sidang akhbar di akhir lawatan rasmi beliau ke China di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata semasa pertemuan beliau dengan Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatan Li Qiang, kedua-dua pihak bersetuju untuk merancakkan hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) termasuk mempercepatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam projek usahasama, beliau berkata China bersetuju untuk menggunakan tenaga kerja mahir dan profesional tempatan berbanding amalan sebelumnya.

“Mereka bersetuju untuk menggunakan tenaga kerja tempatan. Hanya untuk bidang-bidang pengkhususan yang tidak terdapat di Malaysia, mereka akan bawa masuk dari China.

Ini akan terpakai ke atas semua projek-projek lain,” kata beliau.

Anwar berkata kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka bidang-bidang kerjasama baharu termasuk pembuatan kereta generasi baharu serta industri halal.

Beliau berkata Malaysia dan China juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi tinggi dan pendigitalan ekonomi, kemasukan produk pertanian Malaysia ke China, usaha meningkatkan frekuensi penerbangan dan kemasukan pelancong di kedua-dua negara selain dalam bidang  Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke China juga menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi iaitu bernilai RM170 bilion.

Jumlah itu yang terbesar setakat ini dari China adalah hasil daripada 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital.

China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM487.13 bilion (US$110.62 bilion), meningkat 15.6 peratus daripada 2021.

Dari segi politik dan diplomasi, lawatan sulung rasmi Anwar ke negara ini juga bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini, manakala kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 tahun hubungan diplomatik pada 2024.

Sehubungan itu, Anwar berkata sebagai meraikan hubungan bersejarah berkenaan, beliau telah mengundang Xi dan Li untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.

Sementara itu, dalam isu serantau dan antarabangsa, Perdana Menteri berkata pemimpin China  menzahirkan sokongan mereka terhadap Kepaksian ASEAN.

“(Semasa pertemuan) kita juga berpendirian bahawa ASEAN perlu kekal sebagai satu blok bebas dan tidak memihak bagi mengelak daripada perseteruan dan perdambaan kuasa besar,” katanya.

Beliau berkata dalam perjumpaan bersama Xi, Presiden itu juga mengakui peranan dan sumbangan Malaysia dalam dunia Islam dan mencadangkan supaya Malaysia dan China bekerjasama bagi manfaat bukan sahaja kepada kedua-dua negara, tetapi negara-negara Islam lain, contohnya dalam industri halal.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau turut meminta Xi supaya menggunakan pengaruhnya sebagai  Presiden China untuk membantu menyelesaikan pergolakan politik di Myanmar.

Delegasi Malaysia ke China disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast