logo mahlamah

BANDAR PERMAISURI – Seorang pemandu lori didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Setiu, di sini, hari ini setelah mengaku bersalah memindahkan 62 ekor kambing disyaki dari Thailand bernilai RM28,470 tanpa kebenaran pada tahun lepas.

Abli Abdullah, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari yang turut memerintahkan 62 ekor kambing tersebut dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan menjadi hasil kerajaan.

Lelaki itu didakwa memindahkan kesemua kambing berkenaan menggunakan lori jenis Hino tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar, kira-kira 11.15 malam di tepi jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu pada 13 Oktober 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang diwartakan di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36(7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama