Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 bertujuan untuk mengesahkan pengenaan, levi dan pemungutan levi keuntungan luar biasa.

Ia untuk menanggung rugi kerajaan dan pegawai-pegawainya yang tertentu berkenaan dengan levi keuntungan luar biasa yang telah dikenakan, dilevi dan dipungut di negara ini semasa tempoh dari 1 Januari 1999 hingga 31 Januari lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengesahan itu juga adalah untuk memastikan bahawa kenaan dan kutipan levi yang telah dibuat oleh Kerajaan adalah mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Akta 592 dan semua perundangan subsidiari di bawahnya.

Beliau berkata, Akta Pengesahan seperti ini bukanlah pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat untuk mengesahkan kutipan fi, levi mahupun duti kerana ia pernah dibuat di Dewan Rakyat sebelum ini.

Antaranya kata beliau, ia melibatkan Akta Duti Import (Pengesahan) 1992 [Akta 477) Akta Fi (Planetarium Negara) (Pengesahan) 1998 (Akta 583), Akta Fi (Taman Laut Malaysia) (Pengesahan) 2004 (Akta 635), Akta Fi (Jabatan Meteorologi Malaysia) (Pengesahan) 2011 (Akta 722) dan Akta Fi (Jabatan Muzium Malaysia) (Pengesahan) 2014 (Akta 760).

“Kerajaan akan meneruskan kutipan levi keuntungan luar biasa bagi menjana hasil tambahan yang boleh digunakan untuk membiayai program pembangunan negara.

“Untuk tujuan tersebut, Perintah Levi Keuntungan Luar Biasa (Buah Kelapa Sawit) 2023 telah diwartakan pada 31 Januari 2023 bagi mengenakan dan mengutip levi ke atas pengeluaran buah kelapa sawit berkuat kuasa mulai 1 Februari 2023.

“Perintah ini telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu dan secara umumnya, pelaksanaan Rang Undang-Undang ini tidak melibatkan Kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) bagi bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Steven berkata, kerajaan diharap dapat melaksanakan pengurusan kewangan yang lebih baik demi memastikan kemampanan fiskal dan kemampuan keberhutangan Kerajaan dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

Menurut beliau, kerajaan juga akan mengambil langkah meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam dengan memastikan setiap perbelanjaan dibuat mengikut keutamaan dan lebih bersasar serta memberi impak berganda kepada ekonomi dan rakyat. – MalaysiaGazette