KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan berhubungan dakwaan seorang pelancong wanita warga China yang mendakwa diperas ugut oleh seorang anggota polis semasa pemeriksaan dilakukan terhadapnya, seperti yang tular dalam rakaman video di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, penelitian terhadap video berdurasi satu minit 48 saat yang ditularkan akaunTiktok@cs_kuan itu memaparkan seorang anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas seorang individu dengan berlatarbelakangkan papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato’ Onn di ibu negara.
“Siasatan awal yang dijalankan oleh polis mendapati individu dalam video tular itu mendakwa telah diperas ugut oleh anggota polis tersebut kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.
“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah membuka kertas siasatan berhubung insiden video tular itu di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam rakaman itu wanita berkenaan mendakwa dia telah diperas ugut oleh anggota tersebut dan diminta menjelaskan wang sebanyak RM200 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan.
Menurut Yahaya, anggota polis dan individu yang telah dikenalpasti dalam rakaman video itu akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dan kertas kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.
“Pada masa sama, polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran sebarang maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada polis,” ujarnya.
Orang ramnai yang maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian, 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau pergi ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette