beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) menyahsenarai bahan nikotin daripada senarai racun di bawah Akta Racun 1952 telah menimbulkan kegusaran ramai berhubung penggunaan rokok elektronik atau vape yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, ia bukan sahaja dilihat membelakangkan usaha ke arah pelaksanaan dasar Generational End Game (GEG), bahkan seolah-olah menggambarkan KKM tunduk kepada tekanan pihak tertentu.

“Saya menggesa KKM tampil bertanggungjawab segera membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok bagi memastikan pengawalseliaan terhadap produk rokok selain merealisasi dasar GEG berkaitan larangan merokok serta pemilikan produk rokok kepada generasi muda yang lahir pada tahun 2005 dan ke atas.

“Malangnya, penggubalan akta ini tidak dapat disempurnakan dalam pembentangannya dalam sidang Dewan Rakyat bagi sesi Parlimen Ke-14 yang lalu akibat tekanan pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mengesahkan KKM dalam proses untuk mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Sehari sebelum itu, media melaporkan, kerajaan mula melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Ahmad turut mempersoalkan mengapa pembentangan RUU tersebut tidak dilaksanakan terlebih dahulu sebelum nikotin dinyahsenarai daripada Akta Racun.

Sambil menyatakan ketegasan KKM dalam soal itu adalah sangat mustahak, beliau berpandangan, dasar GEG wajar diteruskan melihatkan kebimbangan penggunaan rokok elektronik atau vape yang tinggi khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Ketiadaan kawalan terhadap penggunaan rokok mahupun vape dibimbangi akan mendorong kepada masalah yang lebih besar terhadap sektor kesihatan mahupun sosial.

“Apatah lagi implikasi terhadap golongan perokok pasif yang mengundang pelbagai komplikasi penyakit yang parah,” jelasnya. – MalaysiaGazette