REE sanusi
Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa tanah rizab Melayu di negeri itu menyusut.

Menurut Muhammad Sanusi, data sehingga 19 Januari lalu menyaksikan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah meningkat 408 hektar.

“Keluasan asal Tanah Rizab Melayu di Negeri Kedah pada 1933 mengikut warta Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) ialah 721,496.949 hektar.

“Dari tahun 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan TRM yang dicabut keluar adalah 4,751.369 hektar dan diganti balik seluas 5,160.034 hektar.

“Ini menjadikan keluasan TRM di Kedah pada Januari 2023 ialah seluas 721,905.613 hektar,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Nik Nazmi di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu bahawa Kedah antara tiga negeri mencatatkan penyusutan keluasan tanah rizab Melayu.

Muhammad Sanusi menegaskan, angka yang ditampilkan merupakan keluasan yang direkodkan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah.

“Inilah angka yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini. Hello my friend, next time you try harder aaa .. and dont play play,” sindir Muhammad Sanusi kepada Nik Nazmi.

Dalam kenyataan balas, Nik Nazmi menyifatkan Muhammad Sanusi tidak memahami penjelasan yang disampaikannya di Parlimen.

Nik Nazmi berkata, rekod yang ditampilkan dalam sesi Dewan Rakyat tersebut adalah antara tahun 2021 dan 2022.

Beliau berkata, jumlah keluasan asal tanah rizab Melayu di Semenanjung yang dinyatakan dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah berdasarkan data Pejabat Tanah dan Galian (PTG) setiap negeri.

“Kalau dengar jawapan penuh saya di Dewan Rakyat, saya merujuk semua data yang diberikan oleh PTG setiap negeri. Penurunan Kedah merujuk kepada data antara 2021 hingga 2022,” katanya.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu turut menunjukkan bukti tanah rizab Melayu di Kedah mencatatkan penurunan antara tahun 2021 sehingga 2022.

Tangkap layar data itu dikongsi oleh beliau menerusi ciapan di Twitter.

Dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Nik Nazmi memaklumkan tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar antara tahun 2021 dan 2022.

Data keluasan tersebut berdasarkan kepada kutipan data daripada Pihak Berkuasa Negeri di Semenanjung Malaysia.

Selain Kedah turut menunjukkan penurunan adalah Perdak dan Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette