Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan April Tahun 2023 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Beberapa syarikat dari China bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai hab serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekaligus memberi lonjakan baharu kepada imej negara.

Katanya, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Saya merasakan seolah-olah ada lonjakan baharu mengenai imej dan harapan Malaysia kerana ada beberapa syarikat terkemuka, mungkin dalam beberapa hari, saya akan umum.

“Saya telah mengusulkan perkara tersebut dan mereka sambut baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut Anwar, beliau turut mengusulkan supaya syarikat terbabit mengutamakan pengambilan pekerja tempatan yang memiliki kelayakan.

Katanya, kerajaan hanya akan meluluskan segera kemasukan pekerja dari negara itu sekiranya dikenal pasti syarikat pelaburan China tidak mempunyai tenaga pekerja yang mencukupi.

“Dengan syarat syarikat berkenaan perlu membuktikan ada usaha mengambil anak-anak tempatan kerana ia merupakan pelaburan puluhan bilion seperti minyak dan gas, farmaseutikal selain Geely-Proton,” katanya.

Beliau berkata, syarikat tempatan iaitu Proton Holdings Bhd (PROTON) di bawah Tan Sri Syed Mokhtar Syed Nor Albukhary dipersetujui akan mengadakan program latihan khusus untuk melahirkan pekerja tempatan yang berkelayakan dengan unjuran sehingga dua tahun.

Langkah tersebut diambil sebelum kerajaan membuka ruang kepada pegawai profesional dari China sekiranya tiada pekerja tempatan yang layak.

Anwar berkata, dasar itu mengambil kira pengalaman negara dalam pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Twin City di Kuantan, Pahang.

“Kadang- kadang pekerja China yang datang tadi keseluruhannya dari negara dia. Dari semua bidang tukang gunting sehingga restoran semua dari dia (China),” ujarnya.

Tambah beliau, China telah menerima syarat tersebut dan hubungan yang lebih akrab serta rakan dagang diplomasi itu perlu diteruskan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast