Lokman DAP
Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menuntut janji Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming untuk memberikan geran 999 tahun kepada Kampung Baru Cina.

Malah kata senator dari MCA itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak pada 2018 telah memasukkan tuntutan itu dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PIlihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, setelah memegang jawatan Menteri di KPKT, Kor Ming masih berdiam diri daripada berusaha untuk menunaikan janjinya kepada penduduk Kampung Baru Cina sebelum ini.

“Kor Ming pernah berjanji dan mengulangi janjinya beberapa kali, kalau dia jadi menteri nanti semua Kampung Baru akan diberi geran tanah milik kekal atau tanah milik kekal 999 tahun.

“Beliau juga menekankan perkara ini dalam manifesto PH dan berjanji akan komited untuk melaksanakan janji ini.

“Soalan saya, apakah usaha dan kertas kerja yang telah disediakan ke arah menunaikan janji ini? Kerana rakyat Kampung Baru Cina rasa tertipu,” katanya ketika membangkitkan isu janji Kor Ming mengenai tempoh pajakan Kampung Baru Cina di Dewan Negara hari ini.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan, berdasarkan Jadual 9 Perlembagaan Malaysia dan juga Kanun Tanah Negara, perkara itu termaktub di bawah kuasa kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai persoalan yang dibangkitkan Lian Ker, tetapi akan menyampaikan perkara itu kepada menterinya untuk tindakan lanjut.

Menjawab soalan asal, beliau berkata, terdapat sebanyak 613 Kampung Baharu Cina di seluruh negara.

Kampung itu dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Kampung Baru yang wujud sejak zaman darurat dan sehingga kini mempunyai sebanyak 436 kampung.

“Kemudian kita ada Kampung Baru Rangkaian sebanyak 134 dan Kampung Bagan 43 kampung. Kampung Bagan ialah kampung nelayan, di mana penduduknya adalah masyarakat Cina.

“Namun, Kampung Baru Cina ini tidak semestinya masyarakat Cina atau bukan merujuk secara total masyarakat Cina,” katanya.

Menurut Akmal Nasrullah, dari segi peruntukan pula ia dibuat mengikut kategori yang ditetapkan dengan permohonannya diurus di peringkat KPKT bagi keperluan baikpulih infrastruktur.

Sebagai contoh, katanya, infrastruktur yang dimaksudkan itu melibatkan parit dan longkang serta pengindahan kampung. – MalaysiaGazette