KUALA LUMPUR – Berbuka puasa di Menara Kuala Lumpur sambil menikmati pemandangan matahari terbenam di ibu kota kini menjadi pilihan pengunjung sepanjang Ramadan ini.
Panorama senja itu cukup mempesona kerana dapat menenangkan jiwa seseorang.
Hilang segala tekanan di tempat kerja dan rasa penat dengan tugasan harian yang tidak habis-habis sementara menanti waktu berbuka puasa di ketinggian 288 meter sebelum suasana beralih gelap pada waktu malam.
Bukan itu sahaja, sambil menikmati juadah berbuka puasa yang enak, pengunjung juga dihiburkan oleh kumpulan muzik dari Menara Kuala Lumpur iaitu ‘The Sky Band’ yang membuat persembahan untuk memeriahkan suasana iftar setiap hari.
Apatah lagi, istimewa tahun ini kerana Menara Kuala Lumpur kembali berkolaborasi bersama chef selebriti terkenal, Datuk Chef Ismail setelah kejayaan Bufet Ramadan Menara Kuala Lumpur bersama beliau pada tahun 2015 dan 2016.
Bertemakan ‘Citarasa Asli Daripada Dato’ Chef Ismail’, ia berlangsung sehingga 19 April mulai pukul 6.30 petang hingga 9.30 malam di Megaview Banquet Hall.
Tahun ini, Chef Ismail menyajikan pelbagai jenis sajian asli tempatan dan antarabangsa yang lazat dan menyelerakan yang air tangannya sendiri seperti Kambing Bakar, Ikan Bakar Daun Pisang, Siakap 3 Rasa, Nasi Briyani dan Daging Masak Hitam.
Bufet itu ditawarkan pada harga RM209 untuk dewasa dan RM159 untuk kanak-kanak pada hari biasa manakala hari minggu iaitu Sabtu, Ahad dan cuti umum, harga yang ditawarkan adalah RM229 untuk dewasa dan RM179 untuk kanak-kanak.
Juga istimewa pada tahun ini apabila Menara Kuala Lumpur memberikan tiket lawatan ke Sky Deck secara percuma kepada para tetamu Bufet Ramadan di mana harga asal adalah RM71 seorang.
Bukan itu sahaja, menyedari keistimewaan Ramadan, Menara Kuala Lumpur dengan kerjasama Masjid Jamek Kampung Baru kembali mengadakan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk pada 18 Mac ini pukul 8.00 pagi di perkarangan menara itu.
Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan pada tahun ini, iaitu Masjid/Surau, Hotel/Restoran dan Terbuka di mana pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang sahaja.
Ianya hanya terbuka kepada 30 kumpulan terawal yang mendaftar selewatnya pada 15 Mac ini di mana hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM9,000 ditawarkan berserta hamper dan lapan tiket ke Sky Deck Menara Kuala Lumpur menanti pemenang. – MalaysiaGazette