1MDB IPP
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan pandangan dalam kalangan orang Melayu yang berpendapat bangsa itu tidak mungkin bersatu.

Beliau membidas pendapat itu sehingga kononnya tidak perlu adanya usaha untuk cuba menyatukan orang Melayu kerana ia tidak akan berjaya.

Katanya, mereka yang berpendapat seperti itu tentu akan menolak sebarang usaha untuk menyatupadukan orang Melayu.

“Kalau orang Melayu tolak perpaduan apa yang akan mereka lakukan. Mereka akan sokong perpecahan yang sedang berlaku dalam kalangan orang Melayu.

“Mereka akan sokong orang yang utamakan kepentingan diri, orang yang berjuang untuk dapat duit dan jawatan melalui politik, orang yang undi kerana sogokan.

“Jangan pedulikan siapa yang sogok asalkan disogok. Yang menyogok tentulah orang yang berduit, walaupun duit itu dicuri,” katanya tanpa menyatakan individu yang menolak usaha menyatukan orang Melayu itu.

Menurut Dr Mahathir lagi, melalui sogokan, ‘mereka’ akan menang pilihan raya dan seterusnya menubuhkan kerajaan.

“Kerajaan oleh pencuri, perasuah akan curi duit kerajaan, akan pinjam berbilion untuk dicuri. Akan bertambahlah hutang yang tak dapat dibayar.

“Pedulikan. Asalkan orang Melayu dapat duit buta disebabkan perpecahan orang Melayu. Bodohlah jika tak terima duit buta. Tak payah kerja dapat duit. Undi sahaja.

“Lagi berpecah orang Melayu, lagi ramai yang akan curi duit untuk sogok, lebih banyaklah duit buta yang akan didapati oleh orang Melayu,” ujarnya dalam kenyataan di media sosialnya.

Beliau turut menyindir dengan mengatakan, tolaklah perpaduan dan perbanyaklah parti Melayu supaya Melayu terus berpecah.

Katanya, akan bahagialah anak cucu Melayu sebagai pengemis duit buta. dan tidak perlu bekerja serta perbanyakkan lagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Perbanyaklah parti politik Melayu. Perlekehlah semua pejuang perpaduan. Hidup perpecahan,” sinisnya. – MalaysiaGazette