Gambar fail: Loh Siew Hong (kanan). Foto MUHD NA’IM, 05 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas suami Loh Siew Hong yang sebelum ini didakwa melarikan diri serta menukar agama ketiga-tiga anak mereka tanpa kebenaran ibunya diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini untuk membayar denda RM20,000.

Denda itu yang diarahkan dibayar oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Keluarga), Evrol Mariette Peters kepada tertuduh, Muhammad Nagahswaran Muniandy menghina mahkamah kerana melanggar perintah penjagaan tiga anak mereka dan mengganggu proses keadilan.

Hakim juga telah memerintahkan agar denda tersebut dibayar dalam tempoh 14 hari bermula hari ini atau berdepan dengan penjara selama dua minggu berkuatkuasa serta merta.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, Siew Hong telah mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas suaminya itu pada 20 September tahun lalu.

Untuk makluman, prosiding komital adalah satu prosiding untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seseorang yang dikatakan  menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.

Mana-mana individu yang didakwa menghina mahkamah boleh dipenjarakan.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, peguam mewakili Siew Hong, Gunamalar Joorindanjn berkata, pihaknya gembira dengan keputusan mahkamah pagi ini.

“Kemenangan ini untuk ibu tunggal (Siew Hong) yang telah banyak melalui cabaran dan penderitaan begitu lama akhirnya diberikan pengadilan,” katanya ringkas.

Siew Hong telah berpisah dengan Muhammad Nagahswaran pada Mac 2019 dengan ibu tunggal itu telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.

Bagaimanapun pada 7 Julai 2019, lelaki terbabit dilaporkan melarikan tiga anaknya ketika ketiadaan bekas isteri dan menukar agama sebelum menempatkan kesemua anaknya di pusat kebajikan di Perlis.

Pada 21 Februari lalu, tiga beradik itu diserahkan dengan serta merta kepada Siew Hong selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast