Norena melihat kegiatan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang menggunakan lori tangki minyak berdaftar untuk menyeludup 60,400 liter minyak dalam satu serbuan di Krubong, Melaka, hari ini.

MELAKA – Sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi kini mengubah modus operandi apabila beralih kepada penggunaan lori tangki minyak berdaftar untuk mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar hasil intipan Op Tiris oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) sejak 1 Mac lalu yang berjaya mengesan 60,400 liter minyak cuba diseludup dalam satu serbuan di Krubong, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, serbuan turut menahan dua suspek lelaki berusia 41 dan 46 tahun ketika sedang tidur di dalam sebuah premis di kawasan perindustrian tidak bernombor.

“Kita percaya, kawasan ini dijadikan stor penyimpanan minyak sindiket yang menjadi pembekal diesel bagi pasaran gelap di sektor perkilangan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Tangkapan ini merupakan kali pertama melibatkan lori tangki berdaftar yang memang agak sukar sebenarnya bagi pihak berkuasa mengesan penyelewengan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, jelasnya, sindiket itu turut menggunakan modus operandi yang biasa iaitu menggunakan iaitu lori-lori kecil untuk membeli minyak daripada stesen minyak sekitar negeri ini sebelum menghantar bekalan itu ke premis berkenaan.

“Dua suspek itu kemudian akan memindahkan bahan itu ke dalam sebuah lori tangki berdaftar dan menjualnya di kawasan kilang-kilang pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran.

“Dalam serbuan hari ini, kita berjaya merampas sejumlah 60,400 liter minyak, lori tangki dan alatan pam bernilai keseluruhannya dianggarkan sekitar RM300,000,” katanya.

Norena menambah, kedua-dua suspek terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette.