Seorang lelaki ditahan kerana menjadi pengurup mata wang asing secara haram.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pengurup wang haram yang didalangi warga asing dalam operasi khas pada Ahad dan Isnin  lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi tersebut dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Jelasnya, sebanyak 10 buah premis disyaki menjalankan aktiviti  tanpa lesen yang dikendalikan oleh warga asing terdiri daripada warganegara Bangladesh, India dan Indonesia telah diserbu.

Ketika serbuan, dalang utama sindiket berkenaan antara yang diberkas iaitu tiga lelaki masing-masing warganegara India, Indonesia dan Bangladesh berusia di antara 30 hingga 45 tahun.

Bagaimanapun kesemua individu berkenaan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Tambah Ruslin, dalam masa yang sama, seramai 29 warga asing berperanan sebagai orang tengah dan menguruskan kiriman wang ke luar negara juga ditangkap.

“Mereka terdiri daripada 11 lelaki warga negara Bangladesh, lima lelaki warga negara India, lapan lelaki warga negara Indonesia serta dua perempuan warga negara Indonesia berumur antara 26 hingga 40 tahun,” tambahnya.

Menurut beliau, sindiket berkenaan adalah beroperasi di restoran, kedai runcit, kedai kosmetik dan kiosk menjual peralatan elektronik bagi menutup aktiviti pengurupan wang tanpa lesen.

Katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah RM300,527 disyaki hasil aktiviti pengurup wang, telefon bimbit, buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia.

Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, sindiket itu dianggarkan mampu menguruskan kiriman wang keluar negara mencecah RM108 juta setahun.-MalaysiaGazette