KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka mereda kepada 3.2 peratus tahun ini susulan pertumbuhan kukuh 8.7 peratus pada 2022, kata S&P Global Ratings (S&P).

Ahli Ekonominya bagi Asia Pasifik, Vishrut Rana berkata, aliran menurun tu mencerminkan kelemahan luaran apabila kitaran industri perdagangan dan elektronik global merosot tahun ini selepas dua tahun mencatatkan aktiviti dan pertumbuhan kukuh.

“Mengenai permintaan domestik, kami menjangkakan momentum daripada pembukaan semula dalam perbelanjaan pengguna menurun apabila isi rumah telah mengeluarkan simpanan mereka, yang bermakna pertumbuhan penggunaan yang perlahan tahun ini.

“Pada masa depan, kami menjangkakan pertumbuhan meningkat kukuh pada 4.5 peratus apabila aktiviti perdagangan dan elektronik kita pulih semula, berserta dengan pertumbuhan padu permintaan domestik,” katanya Bernama.

Sementara itu, Vishrut berkata inflasi di Malaysia dijangka lebih terkawal disebabkan terutamanya oleh subsidi bahan api.

Beliau berkata S&P menjangkakan satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia tahun ini, dan mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap kesan dasar monetari dalam ekonomi kerana jangkaan inflasi adalah tinggi.

“Keadaan kredit mengetat seketika pada Januari tetapi keadaan kredit semasa di Malaysia nampaknya agak baik dan terlindung daripada perkembangan sektor perbankan global.” katanya. – BERNAMA