Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bergambar dengan mangsa-mangsa selepas membuat aduan mengenai hampir 500 mangsa penipuan lebih kurang lima syarikat pelaburan di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Semua wang simpanan  keluarga dan pendidikan anak-anak Anisa Talib sebanyak RM100,000 lesap akibat ditipu sebuah syarikat pelaburan.

Ekoran itu, Anisa dan suaminya mengalami masalah kewangan sehingga kini sehinggakan rumah tangganya bergolak dan hampir bercerai.

“Saya gunakan semua simpanan saya untuk anak saya. Saya sebelum ini berhenti kerja selepas mula melabur selepas ditipu saya terpaksa bekerja semula.

“Akibat penipuan ini, mereka membuatkan saya terpaksa kerja balik membuatkan pergolakan rumah tangga saya dan suami. Kami hampir bercerai dan saya murung,” katanya ketika sidang media di hadapan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

Mangsa, Anisa Talib. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2023.

Menurutnya, syarikat pelaburan tersebut diperkenalkan oleh kakak Anisa yang turut menjadi mangsa penipuan.

Katanya lagi, syarikat itu menjanjikan pulangan dividen yang lumayan setiap bulan.

“Saya hanya dapat bayaran dividen sekali sahaja, selepas tu tiada. Terdahulu ya, saya percaya kerana mereka tunjuk sijil berdaftar dengan SC dan insuran membuatkan saya yakin,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa penipuan syarikat pelaburan, Harun Mohd Yunos, 63, pula berkata, dia kehilangan semua simpanannya  sebanyak  RM250,000 dalam  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Harun Mohd Yunos Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2023.

Berasal daripada Melaka, warga emas tersebut berkata, syarikat pelaburan yang diperkenalkan oleh rakan isterinya hanya membayar dividen RM24,000 selama  empat bulan.

“Pada mulanya dividen dibayar setiap bulan, bayaran cantik selama empat bulan. Selepas itu inalillah. Tiada lagi. saya apabila tidak lagi menerima dividen RM6,000 sebulan saya buat tuntutan, syarikat itu janji mahu pulangkan semula wang namun selepas itu mereka hilang,” katanya yang mula melabur sejak Oktober lalu.

Terdahulu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia menyerahkan hampir 500 mangsa penipuan lebih kurang lima syarikat pelaburan kepada SSM hari ini.

Sebahagian mangsa memegang plakad bantahan selepas Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) membuat aduan mengenai hampir 500 mangsa penipuan lebih kurang lima syarikat pelaburan di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2023.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, syarikat-syarikat berkenaan dikenal pasti berpangkalan di Hong Kong dan dalam negara.

“Kita datang untuk buat aduan beberapa syarikat yang telah menawarkan skim pelaburan berkonsep Islamic Redeemable Share (IRPS), sukuk, short term notes dan tabung amanah. Kesemua mangsa telah membuat laporan polis. Jadi kehadiran kami untuk minta SC siasat syarikat-syarikat berkenaan,” ujarnya.

Katanya,  kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM1 bilion dan manoriti mangsa adalah dalam kalangan warga emas yang menggunakan KWSP untuk melabur.

“Ada mangsa dalam kalangan Tan Sri. Antara ratusan mangsa ada yang rugi sebanyak RM3 juta,” tambah beliau.

Hishamuddin berkata, syarikat pelaburan yang berjaya menipu mangsa menggunakan nama-nama individu yang berpengaruh dan terkenal sebagai antara barisan pengurusan tertinggi mereka.

“Dalam masa yang sama mereka tunjuk deposit information yang kononnya SC telah semak kedudukan mereka tapi ia hanyalah serahan sahaja,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa SC menyiasat kesemua syarikat pelaburan yang dinamakan hari ini sekaligus mengambil tindakan segera  dalam masa yang sama membantu mangsa mendapatkan kembali wang mereka.-MalaysiaGazette