KAJANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pihaknya dalam proses untuk memperkemaskan kaedah pendaftaran pelarian Suruhanjaya Tinggi bagi Bangsa-bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR) di negara ini.
Menurut menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, langkah itu dibuat kerana kerajaan tidak mempunyai angka tepat mengenai jumlah sebenar pelarian.
“Kita tak ada autoriti dalam pengeluaran kad pelarian seperti mana dia (UNHCR).
“Sebab kita tidak ada angka yang tetap berkenaan dengan ini, kecuali UNHCR memberikannya melalui kaedah pendaftaran mereka,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Jama’ie di Masjid Jabatan Penjara Malaysia, sebentar tadi.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kad UNHCR kerana ia dikawal sepenuhnya oleh badan dunia tersebut.
“Kerajaan tidak ada apa-apa ‘say’. UNHCR seperti kita tahu ia wujud sejak perang Vietnam dan sampai sekarang wujud sebagai satu entiti di bawah United Nation.
“Adanya ia dalam negara kita ini, fungsinya dua. Menguruskan hal ehwal pelarian, kemudian berusaha menempatkan pelarian itu yang ia telah kenal pasti, telah tapis, untuk ditempatkan ke negara ketiga,” jelas beliau lagi.
Saifuddin Nasution menambah, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi berhubung isu sama.
Katanya, pertemuan beliau bersama Anwar adalah bagi mendapatkan nasihat mengenai pengurusan pelarian di negara ini.
“Ada juga sentuh status UNHCR dan bidang kuasa UNHCR dalam menguruskan isu pelarian dan kemudian berusaha menempatkan mereka di negara ketiga.
“KDN pula ikut juga dalam menguruskan depoh imigresen ataupun agensi maritim kita menguatkuasakan perairan bagi mengelak dibolosi oleh kelompok pelarian,” katanya lagi.
Untuk rekod menurut laman web unhcr.org terdapat lebih kurang 183,790 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR serta merupakan pemegang dokumentasi sehingga kini.
Jumlah ini termasuk mereka yang berada di Malaysia berdekad lamanya. – MalaysiaGazette