Lima pasangan kekasih ditahan berkelakuan tidak sopan di kawasan pantai berhampiran R&R Bagan Ajam, Pulau Pinang awal pagi tadi.

BUTTERWORTH –  Seorang lelaki sanggup menunggang motosikal sejauh 40 kilometer dari rumahnya ke Kulim, Kedah untuk mengambil kekasih yang baru dikenali sebulan semata-mata mahu menonton video di YouTube bersama.

Itu alasan lelaki berusia 24 tahun kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas ditangkap duduk berdua-duaan dalam keadaan berpelukan di kawasan gelap berhampiran Pantai Bersih dan Rehat & Rawat (R&R) Bagan Ajam, di sini, awal pagi tadi.

Pembantu kedai makan itu turut mendakwa baru mengenali gadis berusia 21 tahun itu sebulan lalu dan menjemputnya di rumah sekadar untuk bersantai di pantai berkenaan.

Mohd Azizon (tengah) memberi nasihat kepada pasangan kekasih yang ditahan berpelukan konon menonton video YouTube.

Selain mereka, empat pasangan kekasih lain turut ditangkap selepas dikesan berpelukan di kawasan tersebut.

Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd Azizon Noordin, lima pasangan kekasih itu didapati duduk berdua-duaan terlalu rapat tanpa sebarang ikatan perkahwinan yang sah selain ada yang berpelukan.

Mohd Azizon.

“Oleh itu, mereka diberi notis Seksyen 29 Enakmen Kesalah Jenayah Syariah (negeri Pulau Pinang) 1996 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

“Ini adalah langkah pencegahan yang diambil JHEAIPP untuk mengelak perkara itu berulang lagi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita sebaik selesai operasi jam 1 pagi tadi.

Mengulas lanjut Mohd Azizon berkata, kawasan Pantai Bersih serta R&R Bagan Ajam antara 10 lokasi panas di negeri ini yang menjadi tempat pasangan kekasih suka berkelakuan tidak sopan.

Masing-masing dikenakan notis mengikut Seksyen 29 iaitu berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

“Kita buat operasi ini bukan saja pada bulan Ramadan tapi secara berterusan bagi membendung gejala tidak sihat terutama membabitkan golongan muda.

“JHEAIPP juga berharap ibu bapa memainkan peranan termasuk mengambil tahu pergerakan anak mereka pada waktu malam agar gejala tidak bermoral ini dapat dibendung,” katanya. – MalaysiaGazette