KUALA LUMPUR – Kejadian serangan di Palestin sejak malam tadi mendapat liputan luar biasa di media sosial.
Ramai yang berkongsi mengenai kejadian yang melanda bumi As-Syam itu.
Perkongsian bukan hanya daripada penduduk tempatan, malah seluruh dunia yang menonton video turut repost semula sebagai tanda bersolidariti dan bersimpati atas apa yang berlaku.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, masih banyak bantuan yang diperlukan.
Menerusi perkongsiannya di Telegram, Nadir berkata, sumbangan yang diterima masih belum mencukupi.
“Jam di Gaza dah pukul 3 pagi tapi tak boleh nak tutup mata. Sepanjang Ramadan ni bila tidur saya mimpi bermesyuarat dengan pasukan CGM di Malaysia, berbincang macam mana nak tingkatkan sumbangan yang sangat menyedihkan.
“Team saya di Malaysia maklumkan sumbangan baru mencecah RM60,000.
“RM60,000 daripada RM1 juta yang saya sasarkan. Sahabat-sahabat di Aqsa dah hantar kertas kerja untuk baiki klinik dalam kawasan masjid dengan nilai ratusan ribu ringgit,” katanya.
Jelasnya lagi, kos rawatan untuk membantu mereka yang dipukul juga bernilai puluhan ringgit.
“Saya sangka ribuan share, semangat yang berkorbar, marah yang ditunjukkan oleh kita akan melahirkan tindakan tapi rupa-rupanya tak senang untuk kita betul-betul berkongsi rasa dan harta dengan mereka.
“Ya, saya tahu kamu dan kamu akan komen yang rakyat di Malaysia yang tercinta juga sedang susah. Ada yang akan komen sinis baliklah berbakti kepada negara pula.
“Ada yang akan kata saya terpaling Palestin bila teguran dan nasihat saya ada yang tak suka.
“Ada ke dalam kalangan kita yang mak dan ayah dibunuh di depan mata?
“Ada ke anak-anak kita yang terpaksa korek sampah di jalan raya untuk makan macam yang saya nampak anak-anak Gaza buat semalam?,” tulisnya lagi.
Nadir turut berkata, tidak ramai yang sanggup menghulurkan nyawanya untuk pertahankan bumi wakaf umat Islam.
“Entahlah, saya tidak kecewa tetapi saya penat. Penat sangat-sangat. Mungkin dah sampai masanya orang yang lebih ikhlas, lebih bertenaga datang menggantikan saya.
“ALLAH SWT saja yang tahu apa ada di fikiran ini,” katanya lagi.
Bagi yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian menerusi http://emergency4gaza.com/kecemasan atau terus ke akaun CGM Maybank 564810507826 rujukan: kecemasan.
Malam tadi, Baitul Maqdis diserang oleh tentera Israel ketika umat Islam sedang bersolat dan beriktikaf.
Menerusi rakaman video, ramai umat Islam dipukul di bahagian kepala dan badan hingga menyebabkan kecederaan. -Malaysia Gazette