KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada kanak-kanak seterusnya membanteras jenayah seksual kepada golongan terbabit, diluluskan di Dewan Negara, hari ini.
Ia diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dengan dibahaskan 10 Senator.
Menurut Azalina, pindaan yang dilakukan itu mengambil kira kes jenayah yang begitu sofistikated, seiring kemajuan teknologi dan memerlukan pindaan kepada takrifan atau interpretasi jenayah itu diperluaskan.
“Mungkin ada yang beranggapan hukumannnya (dalam pindaan) kecil dan tak banyak… tetapi apabila pendakwa raya menuduh mana-mana pihak, contohnya dalam Seksyen 5 membuat (bahan penganiayaan seksual), menghasil, mengarahkan perbuatan penghasilan…ia akan berantai.
Bukannya satu seksyen tidak boleh pergi ke seksyen lain…kalau campur boleh jadi 100 tahun (hukuman penjara), ‘membuat’ sahaja hukumannya dah 30 tahun, kemudian dituduh buat persediaan untuk hasilkan, tambah 10 tahun.
Menggunakan kanak-kanak kena lagi 20 tahun, dia tukar-tukar pula (kandungan) kena lagi 15 tahun, dia jual pula…lagi 15 tahun… jadi jangan khuatir kata hukumannya rendah,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.
Bagaimanapun Azalina berkata pada masa yang sama, terdapat aspek negatif apabila hukuman dikenakan terlalu berat dan lama kepada pesalah khususnya apabila ia melibatkan anggota keluarga mangsa kerana ia boleh mendatangkan kemungkinan kes itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Selain itu, dalam usaha untuk mengatasi jenayah seksual kanak-kanak, Azalina berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama syarikat telekomunikasi (telco) juga boleh memainkan peranan dengan memantau serta menurunkan kandungan-kandungan pornografi yang terdapat dalam talian.
“Kalau di negara barat mereka ada tanggungjawab untuk pantau, turunkan atau buang kandungan pornografi… tetapi kalau syarikat telco hendak buat duit daripada berapa banyak kandungan yang dilayari, sudah tentu mereka tidak akan turunkan kandungan.
Sebab itu kita berharap selepas pindaan ini dibuat, KKD dapat mainkan peranan dengan Akta Komunikasi yang ada supaya dapat masuk dan pantau kandungan-kandungan seperti ini,” katanya.
Terdahulu ketika membentangkan rang undang-undang itu Azalina berkata antara pindaan yang dilakukan terhadap rang undangf-undang itu ialah menggantikan terminologi “pornografi kanak-kanak” kepada “bahan penganiayaan seksual kanak-kanak” dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Selain itu, Azalina berkata Fasal 15 yang bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 26A dan 26B ke dalam Akta 792 adalah untuk memberi mahkamah kuasa membuat perintah bagi pembayaran pampasan kepada mangsa kanak-kanak. – BERNAMA