Peguam Negara
Idrus Harun

KUALA LUMPUR – Seramai 14 bekas Presiden Majlis Peguam mendesak agar Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun agar tidak terus membisu berhubung tuduhan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam meluahkan kekecewaan, mereka menegaskan, Idrus gagal menjelaskan dakwaan Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan ketika membicarakan kes SRC International melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Idrus juga didakwa gagal ‘membersihkan secara terbuka’ mengenai dakwaan korupsi terhadap Mohd. Nazlan.

“Lebih-lebih lagi, kerana Peguam Negara sendiri adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan pastinya menghargai kesan buruk dari sikap berdiam diri beliau terhadap badan kehakiman dan kesucian pentadbiran keadilan.

“Kes ini telah menimbulkan tahap ugutan yang tidak boleh diterima terhadap hakim yang menjalankan tugas mereka untuk menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Mereka menghadapi gangguan berterusan dan tertakluk kepada muslihat dan rancangan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani VC George, Param Cumaraswamy, Zainur Zakaria, Cyrus Das, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, Steven Thiru, George Varughese, Fareed Abdul Gafoor, Salim Bashir dan AG Kalidas.

Mereka menggesa agar tuduhan terhadap Mohd. Nazlan dihentikan kerana ia tidak memenuhi kedaulatan undang-undang.

Katanya, seharusnya tidak ada pihak tertentu di negara ini yang dibenarkan untuk meruntuhkan institusi untuk melepaskan diri daripada undang-undang.

Kumpulan itu memberikan reaksi terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Badan Peguam Malaysia pada 4 April lalu berhubung dokumen “bocor” daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan serangan terhadap badan kehakiman Malaysia dan hakim-hakimnya.

Mereka mendakwa laporan itu mengandungi pelanggaran serius oleh SPRM terhadap kuasa dan bidang kuasa mereka di bawah akta pentadbiran mereka.

Nazlan, kini hakim di Mahkamah Rayuan, telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.

Rayuan Najib kepada Mahkamah Rayuan telah ditolak pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu mengekalkan sabitan dan hukuman itu.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Betul tu..AG sepatutnya jangan membisu sebaliknya mengambil tindakan tegas terhadap Nazlan dan Maimon yg mencemarkan kesucian pentadbiran keadilan. Malahan perlu segera mengambil tindakan kepada presiden2 Majlis Peguam ini kerana cubaan menghalang SPRM menjalankan fungsinya mencegah jenayah dan peguam2 inj juga bersubahat melimdungi hakim2 yg terlibat dengan jenayah dan tidak beretika.

Comments are closed.