KUALA LUMPUR – Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan yang lebih kecil iaitu 0.9 peratus berbanding Februari 2023 (1.5 peratus) seiring dengan trend peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.
Selain daripada besi, simen merupakan salah satu elemen penting dalam industri pembinaan, turut mencatatkan kenaikan harga. Indeks harga seunit simen telah meningkat 1.1 peratus pada Mac 2023 berbanding Februari 2023.
Namun begitu, harga bahan ini meningkat dengan kadar yang lebih perlahan berbanding dua bulan lepas.
Antara penyumbang utama kenaikan harga bagi pasaran simen adalah peningkatan kos pengeluaran yang masih berterusan seperti peningkatan harga bahan mentah iaitu batu
kapur, arang batu (yang digunakan dalam proses pembakaran), tenaga dan kos penghantaran.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 1.2 hingga 10.2 peratus pada Mac 2023 berbanding bulan yang sama pada tahun yang lalu.
Indeks harga bagi seunit simen dan batu bata dan dinding meningkat masing-masing 10.2 dan 8.0 peratus bagi Mac 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Namun begitu, indeks harga bagi seunit bagi besi pula telah mencatatkan penurunan iaitu 0.6 peratus.
Menurutnya, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,691.66 bagi setiap tan metrik dan mencatatkan peningkatan 0.8 peratus berbanding bulan sebelumnya (Februari 2023: RM3,662.23 per tan metrik).
Purata harga simen (Ordinary Portland) turut mencatatkan peningkatan 1.1 peratus iaitu RM22.40/ 50 kg berbanding RM22.15/ 50 kg (Februari 2023).
Selain itu, Indeks Kos Binaan tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan di antara 0.2 dan 2.7 peratus pada Mac 2023 berbanding pada bulan sebelumnya.
Peningkatan indeks yang tertinggi adalah Bangunan (Konkrit Tetulang) Lima Tingkat dan Lebih (Untuk Penginapan).
Namun begitu, terdapat juga indeks bangunan yang kekal tidak berubah seperti Cerucuk Kayu.
Indeks Kos Binaan tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi Sabah menunjukkan peningkatan yang perlahan bagi hampir keseluruhan kategori bangunan iaitu di antara 0.1 dan 0.5 peratus pada Mac 2023 berbanding bulan sebelumnya.
Peningkatan indeks yang tertinggi adalah Cerucuk (Konkrit Tetulang) di Kota Kinabalu manakala indeks bagi Kerangka Besi Satu Tingkat (Bangunan) di Tawau telah mencatatkan penurunan
0.2 peratus.
IKB tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli di Sarawak menunjukkan peningkatan iaitu di antara 0.1 dan 4.0 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.
Indeks bagi Cerucuk (Konkrit Tetulang) di Miri dan Sibu telah mencatatkan peningkatan masing-masing 4.0 peratus dan 1.3 peratus.
Perbandingan secara tahunan menunjukkan peningkatan IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Kategori bangunan yang
merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia adalah di Pahang iaitu Cerucuk (Konkrit Tetulang).
Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah Kerangka Besi Satu Tingkat (Menara sahaja) di Sandakan, manakala di Sarawak pula adalah Bangunan Kayu di Sibu. – MalaysiaGazette