Saudara pengarang,
Sempena Hari Kesihatan Dunia yang disambut hari ini, 7 April dan sejajar dengan bulan Ramadan yang mulia, tahap kesedaran terhadap kepentingan kesihatan juga perlu lebih dititikberatkan.
Dengan kesesakan pesakit di hospital kerajaan, harga ubat-ubatan dan bil rawatan yang jauh naik secara mendadak, penjagaan kesihatan bukanlah lagi satu kehendak, tetapi satu keperluan.
Terbukti, kebanyakan penyakit berpunca dari pengambilan makanan yang berlebihan dan gizi tidak seimbang.
Dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia, secara automatik, umat Islam terdidik dalam menahan lapar dan dahaga, namun, didikan ini tidak sepatutnya terhenti hanya setakat ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Didikan untuk menahan nafsu dalam bulan ini, sepatutnya memberi peluang untuk kita bergraduasi dalam meneruskan gaya pemakanan sihat walaupun selepas Ramadan berlalu pergi.
Oleh itu, kita patut mengambil peluang sambutan Hari Kesihatan Dunia di bulan mulia ini, untuk menanam azam sebagai satu kem latihan penjagaan makanan yang seimbang dalam
kuantiti yang sewajarnya bagi mengelakkan masalah kesihatan pada masa hadapan.
Azam dan latihan sewaktu bulan Ramadan ini tidak boleh berhenti setakat sebulan namun perlu diteruskan sepanjang hayat malah penambahbaikan dengan aktiviti fizikal kerana harga kesihatan amat mahal dan tidak mungkin dapat dibeli dan ditukar ganti.
Dr Faezah Rokhani
Pakar Perubatan dan Patologi Oral Maksilofasial,
Universiti Sains Islam Malaysia